Speedy Tigers sasar separuh akhir Piala Negara-Negara

Speedy Tigers menetapkan sasaran layak ke separuh akhir Piala Negara-Negara FIH 2022 yang menyingkap tirai di Potchefstroom, Afrika Selatan pada 28 November ini.
Speedy Tigers menetapkan sasaran layak ke separuh akhir Piala Negara-Negara FIH 2022 yang menyingkap tirai di Potchefstroom, Afrika Selatan pada 28 November ini.
A
A
A

THE Speedy Tigers menetapkan sasaran layak ke separuh akhir Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2022 di Potchefstroom, Afrika Selatan, dari 28 November hingga 4 Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata, pihaknya mahu melihat juara Piala Sultan Azlan Shah 2022 itu melangkah ke separuh akhir selaku juara kumpulan sebelum menyasarkan pencapaian lebih tinggi dalam pusingan kalah mati.

“Kita sasar slot separuh akhir dan jika semua berjalan lancar...anda boleh melihat apa yang terjadi pada Piala Sultan Azlan Shah apabila permulaan kurang menyerlah akhirnya dengan semangat juang tinggi dan arahan daripada jurulatih momentum dan rentak itu berubah.

“Pemain juga sudah sedar kalau kalah tak semestinya kalah sampai habis, kalau menang tak semestinya menang sampai juara. Itu pengajaran paling baik daripada apa berlaku di Sukan Asia dan Piala Asia apabila kita bermula baik tapi tak juara,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil pada Isnin.

Sementara itu, pengendali Speedy Tigers, Arul Selvaraj menyifatkan sasaran itu adil kepada pasukannya yang dibarisi 20 pemain termasuk empat pemain yang tidak beraksi pada Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh dua minggu lalu.

Empat pemain itu termasuk penyerang sensasi Faizal Saari yang baru kembali dari Belanda selepas beraksi bersama kelab ZSV Schaerweijde dan muka baharu, Syarman Mat Tee yang belum meraih sebarang penampilan antarabangsa bersama skuad senior negara.

Malah menurut Arul, menjelang kejohanan julung kali dianjurkan itu, perubahan dalam sesi latihan dibuat untuk memantapkan mutu permainan pasukan yang menghuni ranking ke-10 dunia bagi berdepan cabaran Korea Selatan (ke-12 dunia), Kanada (ke-14) dan Jepun (ke-18) dalam saingan Kumpulan B.

“Kita juga berlatih bagaimana kita nak main di Potchefstroom di mana dari segi masa yang berbeza, dari segi bermain di altitud kira-kira 1,500 meter dari aras laut. Prestasi kita perlu dipertingkatkan daripada Piala Sultan Azlan Shah dan teruskan proses yang dibuat dengan bagus,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Najmi turut mengumumkan senarai 20 pemain yang akan menggalas cabaran negara di Afrika Selatan, namun hanya 18 pemain boleh didaftarkan dan akan dimuktamadkan Arul di sana, selain Muhammad Najmi Farizal Jazlan dipilih sebagai ketua pasukan kali ini.

Sementara itu, saingan Kumpulan A, Kejohanan FIH Piala Negara-Negara 2022 mengumpulkan pasukan di ranking ke-11 dunia Perancis, Ireland (ke-13), Pakistan (ke-17) dan skuad tuan rumah (ke-16) dalam merebut dua kedudukan terbaik untuk ke separuh akhir.

Untuk rekod, juara kejohanan itu akan layak secara automatik ke Liga Pro FIH yang menghimpunkan pasukan terbaik dunia bagi musim 2023-2024.

Kejohanan juga menjadi medan persediaan terbaik Speedy Tigers yang akan beraksi di Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar dan Rourkela, India, dari 13 hingga 29 Januari depan.