Kerjasama PH-BN di Perak resipi untuk bencana: Ahmad Faizal

Ahmad Faizal - Foto Bernama
Ahmad Faizal - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Perikatan Nasional (PN) menyifatkan keputusan BN untuk menubuhkan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) di negeri Perak sebagai suatu resipi untuk bencana.

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan tersebut sekaligus mengesahkan dakwaan sebelum ini mengenai jajaran baharu yang diusahakan pemimpin UMNO bersama PH semata-mata untuk kekal berkuasa.

Jelasnya, keputusan yang diambil itu juga dilihat tidak sepadan dengan slogan dilaungkan pada Perhimpunan Agung UMNO yang menolak kerjasama UMNO dan DAP.

"PN Perak tetap dengan pendirian untuk menjadi pembangkang jika tidak dapat membentuk kerajaan negeri dengan mana-mana pihak yang bersedia menerima prinsip perjuangan PN iaitu prihatin, bersih dan stabil.

"PN Negeri Perak tidak akan sama sekali bekerjasama dengan PH yang di dalamnya ada parti DAP yang ditolak oleh sebahagian besar orang Melayu atau dengan mereka yang tercemar dengan masalah rasuah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

BN Perak pada Isnin bersetuju menjalin kerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan negeri baharu Perak.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, persetujuan antara dua gabungan parti itu telah disembah maklum kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini pada Isnin.

Menurutnya, dalam pertemuan yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu, beliau mewakili BN dan Dr Abdul Aziz Bari selaku Naib Pengerusi DAP sebagai wakil PH.

Artikel Berkaitan: