Keputusan PRU15 kejayaan rakyat bangkit tolak rasuah

Nurhayati
Nurhayati
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menunjukkan sambutan rakyat Malaysia terhadap seruan #RasuahBusters untuk tegas menolak kepimpinan yang terpalit isu rasuah dan gagal mempamerkan prestasi secara telus serta berintegriti.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, pilihan raya kali ini turut menyaksikan kecenderungan rakyat Malaysia memilih calon dan parti yang lebih bersih untuk membawa harapan pemulihan dan kestabilan negara.

"Perjalanan memulihkan #NilaiMoralKarakterBangsa ini adalah sebuah proses yang panjang tetapi kehendak rakyat diterjemahkan di peti undi.

Kali ini rakyat berjaya menunjukkan mereka adalah 'bos'.

"Mereka telah memberikan mandat kepada calon yang diharapkan akan mentadbir negara ini dengan akauntabiliti, kejujuran dan bersih daripada rasuah," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau menambah, proses memperbaiki negara telah dimulakan oleh rakyat Malaysia dengan pemilihan dibuat pada Sabtu.

"Kesanggupan rakyat bangkit bersama #RasuahBusters dalam melakukan perubahan ini adalah cabaran kepada kerajaan dan calon yang menang untuk memenuhi manifesto dijanjikan sebagai tanggungjawab kepada pengundi.

"Sebarang keputusan atau bentuk kerjasama kerajaan yang bakal ditubuhkan harus diselesaikan secara adil dan harmoni dengan agenda kepentingan rakyat dijadikan keutamaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, #RasuahBustsers dan rakyat Malaysia akan terus menggesa kepimpinan dipilih dan diberi mandat sebagai kerajaan untuk melakukan reformasi institusi.

"Selain itu kepimpinan yang dipilih diharap dapat menaik taraf sistem pendidikan, menguruskan isu banjir, kewangan, harga barang, meningkatkan pelaburan dan sebagainya dengan sebenar-benar ketelusan, berintegriti dan bebas rasuah. "Jangan musnahkan masa depan Malaysia yang telah memilih kerana harapan diberikan supaya negara ini akan ditadbir dengan jujur dan bersih rasuah.

"Atas tekad dan semangat Rukun Negara, kerajaan rakyat dan hak rakyat ini akan terus kita perjuangkan bersama hingga negara ini pulih maruahnya, bangkit sebagai #MalaysiaTanpaRasuah," ujarnya.