PRU15: Terima keputusan demokrasi - Mujahid

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

PARIT BUNTAR - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berlapang dada menerima keputusan selepas tewas di kerusi Parlimen Parit Buntar pada Pilihan Rayan Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, keputusan tersebut adalah hasrat yang dikehendaki pengundi di kerusi Parlimen tersebut dengan memberikan kemenangan kepada calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Misbahul Masduki.

Menurutnya, penghargaan harus diberikan kepada penyokong dan pengundi PH yang mempercayai aspirasi perjuangan gabungan tersebut.

“Walaupun kami telah berusaha keras untuk kekalkan kemenangan PH, namun kita semua harus menerima ia satu keputusan yang dibuat secara demokrasi.

“Akhirnya marilah kita meneruskan agenda membentuk negara ini ke arah cita-cita bersama untuk Malaysia yang rahmah dan makmur serta kepada ALLAH jua kita berserah segala ketentuan dan ketetapan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.

Mujahid tewas kepada Mohd Misbahul Munir dengan majoriti 5,395 selepas memperoleh 17,828 undi berbanding calon PN sebanyak 23,223 undi.

Dua lagi calon yang turut tewas ialah Imran Mohd Yusof dari BN yang memperoleh 11,593 undi dan Pejuang Rohijas Md Sharif dengan 259 undi.

Artikel Berkaitan: