MCA atur gerak kerja selepas selesai agihan kerusi - Ka Siong

Ka Siong (kanan) membuang undi pada pemilihan MCA Bahagian Johor Bahru.
Ka Siong (kanan) membuang undi pada pemilihan MCA Bahagian Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - MCA hanya akan menyusun gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri selepas pembahagian kerusi dimuktamadkan antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, setakat ini proses pembahagian kerusi masih dilaksanakan dengan semangat Kerajaan Perpaduan.

"Kita buat gerak kerja di dalam parti, kita tidak boleh syok sendiri dengan menganggap sesebuah kawasan pada PRN nanti milik parti.

"Semangat Kerajaan Perpaduan itu perlu diterjemahkan di kawasan atau bahagian sewaktu PRN yang akan menguji kematangan pemimpin," katanya.

Proses pemilihan MCA Bahagian Johor Bahru di Dewan Jubli Intan Johor Bahru, pada Ahad.
Proses pemilihan MCA Bahagian Johor Bahru di Dewan Jubli Intan Johor Bahru, pada Ahad.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuang undi bagi memilih jawatan Ketua Bahagian MCA, Johor Bahru di Dewan Jubli Intan di sini pada Ahad.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam menambah BN perlu cermat dalam isu pembahagian kerusi PRN agar tidak mengguris hati komponen selain terus bekerjasama dengan parti-parti lain di dalam Kerajaan Perpaduan.

"Apa yang lebih penting bagaimana hendak terjemahkan semangat kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan. Dari segi pembahagian dan rundingan kerusi, itu memberi cabaran kepada setiap parti.

"Parti dalam Kerajaan Perpaduan juga sewajarnya tidak menghentam sesama parti dengan memberikan pandangan melalui media. Kalau berterusan ia tidak akan bawa ke mana-mana," katanya.

Pada Sabtu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya BN akan memperoleh lebih kerusi di enam negeri pada PRN akan datang.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, agihan kerusi itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Pada 15 April lalu, pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di antara PH dan BN pada PRN di enam buah negeri perlu diputuskan berdasarkan prinsip yang dipersetujui menerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, antara prinsip dan parameter yang dipersetujui berkenaan kerusi yang dimenangi oleh parti tertentu akan terus ditandingi parti itu dalam PRN akan datang.