PRU15: Petugas SPR maut disahkan positif Covid-19

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kematian seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist ACS, Jalan Raya Barat Klang, Klang pada Sabtu disahkan berpunca dari Covid-19.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, petugas SPR berusia 45 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri ketika sedang bertugas.

"Punca kematian lelaki berkenaan adalah disebabkan positif covid-19.

"Semua anggota polis yang bertugas bersama pegawai SPR berkenaan telah diarahkan untuk menjalani kuarantin," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, seorang petugas SPR ditemui tidak sedarkan diri atas sebuah kereta buggy semasa bertugas di lokasi pusat mengundi terbabit.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.15 tengah hari dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Arjunaidi berkata, sebanyak 393 laporan diterima, 82 kertas siasatan dibuka dan tujuh individu ditahan berhubung kesalahan sepanjang tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, keseluruhannya proses mengundi di Selangor berjalan lancar, bagaimanapun pihaknya masih menempatkan pasukan petugas dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa jika perlu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita palsu yang boleh membangkitkan kegelisahan awam.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara," ujar beliau.