22 calon hilang deposit PRU15 di Sarawak

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Seramai 22 calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Sarawak telah hilang wang deposit setelah mendapat kurang satu perlapan daripada jumlah undi bagi Parlimen masing-masing.

Daripada jumlah tersebut, enam calon daripada Pakatan Harapan (PH), lima Parti Sarawak Bersatu (PSB), calon Bebas lima orang, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) tiga orang dan seorang masing-masing daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) dan Perikatan Nasional (PN).

Antara calon pertama diumumkan kehilangan wang deposit ialah Hud Andri daripada PH di kerusi Igan yang hanya memperoleh 1,162 undi.

Selain itu, calon PH yang turut hilang deposit ialah Japar Suyut di kerusi Lawas dan Ibil Jaya di kerusi Saratok dengan masing-masing memperoleh 1,163 dan 1,221 undi.

Calon lain daripada PH yang turut hilang deposit ialah Langga Lias bagi Lubok Antu (746), Naga Libau @ Tay bagi Sri Aman (2,021) dan Maxel Rojis bagi Batang Lupar (2,768).

Bagi calon PSB yang hilang deposit pula ialah Ryan Sim Min Leong kerusi Mas Gading (2,311), Iana Akam di Puncak Borneo (5,578), Lue Cheng Hing daripada Stampin (2,291), Priscilla Lau mewakili Lanang (3,663) dan Datuk Lawrence Lai (5,209) di Miri.

Sementara calon daripada PBDS hilang di kerusi Julau ialah Susan George (335), Bobby William di Sibuti (1,361) dan Robert Saweng di Kapit (1,357).

Selain itu, seramai lima calon Bebas turut hilang deposit iaitu George Chen (741) dan Dr Elli Luhat (427) kedua-duanya bertanding di Parlimen Kanowit, Datuk Wong Ting Kiong di Lanang (587), Affendi Jeman di Santubong (3,012) dan Henry Joseph Usau (1,026) di Selangau.

Artikel Berkaitan:

Calon yang turut kehilangan wang deposit ialah Presiden PBK, Voon Lee Shan di Bandar Kuching (1,760).

Parti Sedar Rakyat Sarawak di kerusi Petra Jaya, Othman Abdillah (1,036) dan PN di Bintulu, Duke Janteng (5,650) juga antara calon yang hilang deposit.

Bagi kerusi Parlimen, setiap calon kehilangan wang deposit berjumlah RM10,000.

Bagaimanapun bagi kerusi Baram, proses pengundian ditangguhkan berikutan keadaan cuaca buruk dan tarikh baharu pengundian akan diumumkan oleh SPR kemudian.