Sampah jejaskan Pantai Sepat, Kempadang

Pantai Sepat dan Kempadang dipenuhi sampah.
Pantai Sepat dan Kempadang dipenuhi sampah.
A
A
A

KUANTAN - Sikap sesetengah pengunjung membuang dan meninggalkan sampah selepas melakukan aktiviti riadah di Pantai Sepat dan Pantai Kempadang, Kuantan menjejaskan imej pusat peranginan itu.

Malah penduduk kampung yang tinggal berhampiran pantai berkenaan kesal dengan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan itu.

Penduduk Kampung Kempadang, Natrah Jalil, 64, berkata, kebanyakan sampah yang bersepah di kawasan pantai Kempadang serta sekitar kampung ini disebabkan kelakuan pengunjung yang mementingkan diri.

Menurutnya, dia kecewa dengan tabiat serta sikap tidak bertanggungjawab pengunjung yang suka membuang sampah di merata-rata tempat sehingga mencemarkan imej pantai ini.

"Pantai Kempadang memang bersih dan cantik dan sebab itulah jadi tarikan orang ramai untuk bercuti pada hujung minggu atau cuti sekolah.

"Tapi sikap orang luar yang membiarkan sampah sisa makanan di pantai memang pentingkan diri. Sebab tu bukan saja pantai yang kotor malah kawasan kampung, rumah orang kampung habis kotor dengan sampah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.

Natrah berkata, walaupun kecewa dengan sikap orang luar namun dia tetap mengambil pendekatan dengan turun padang membersihkan kawasan pantai.

Artikel Berkaitan:

Natrah (kanan) bersama Khatijah mengambil pendekatan bersama turun padang membersihkan kawasan Pantai Kempadang bagi memastikan pantai tersebut sentiasa dalam keadaan bersih.
Natrah (kanan) bersama Khatijah mengambil pendekatan bersama turun padang membersihkan kawasan Pantai Kempadang bagi memastikan pantai tersebut sentiasa dalam keadaan bersih.

"Kalau ada aktiviti bersihkan sampah, saya akan sertai dengan orang lain sebab nak pastikan kampung dan pantai kami bersih," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk Kampung Kempadang, Khatijah Jalil, 63, berkata, pemandangan di pantai itu amat menyakitkan mata kerana keadaannya tidak terurus dengan longgokan sampah.

“Walaupun agensi kerajaan banyak kali buat pembersihan, tapi mentaliti dan sikap pengunjung tak berubah. Jadi pantai akan tetap kotor dan dipenuhi sampah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid, meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir pengunjung yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, sikap sesetengah pengunjung membuang dan meninggalkan sampah selepas melakukan aktiviti riadah di pantai Sepat, Kuantan menjejaskan imej pusat peranginan itu.

“Kami sudah melaksanakan pelbagai kempen dan aktiviti di kawasan tarikan pelancong itu untuk menyedarkan orang ramai supaya tidak membuang sampah di kawasan pantai.

“Ini termasuk Program Gotong-Royong Bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) pada Mac lalu yang berjaya mengutip sebanyak 3.1 tan sampah di pesisir pantai.

"Awal bulan ini juga kita telah mengadakan pertandingan mengutip sampah di Pantai Kempadang dengan kerjasama agensi kerajaan bagi kita memastikan pantai ini tidak tercemar daripada sampah," katanya.

Penduduk kampung berharap agar pengunjung yang datang tidak mementingkan diri dengan turut membantu membersihkan sampah.
Penduduk kampung berharap agar pengunjung yang datang tidak mementingkan diri dengan turut membantu membersihkan sampah.