Tugas pemimpin baharu kini bermula

Nurhayati ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk 'PRU15: Cuci Kasi Bersih' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Sabtu.
Nurhayati ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk 'PRU15: Cuci Kasi Bersih' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan penamat dan tugas seluruh rakyat Malaysia memerangi budaya rasuah bukan berakhir di peti undi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, kebertanggungjawaban orang ramai dan gerakan massa Rasuah Busters menghapuskan amalan rasuah baru sahaja bermula.

Katanya, sebagai sebuah gerakan dari rakyat kepada rakyat, tekad membanteras dan memutuskan rantaian rasuah tidak akan pernah padam.

Menurutnya, ketika mana sesiapa sahaja dilantik memegang tampuk pemerintahan dan mentadbir negara Malaysia, rakyat seharusnya terus memastikan pemimpin menjalankan tanggungjawab dengan telus, berintegriti dan menolak rasuah habis-habisan.

Tegasnya, tugas dan peranan rakyat prihatin perlu diteruskan untuk melihat perubahan yang perlu dilakukan oleh kumpulan pemimpin yang telah dipilih termasuk mengangkat kembali kedudukan ekonomi negara dan mensejahterakan rakyat.

Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, jangan anggap tugasan kita sudah selesai pada hari ini setelah selesai mengundi, sebaliknya ia baru sahaja bermula.

"Kita sebenarnya baru hendak melihat bagaimana negara ini kembali makmur, aman dan ekonomi negara akan menjadi lebih baik dan subur setelah kita semua melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

"Oleh itu, kita perlu memerhatikan pemimpin-pemimpin yang dipilih ini menjalankan tanggungjawab kerana negara mengamalkan sistem demokrasi. Mereka dipilih atas kuasa yang diberikan kepada rakyat dengan nilai #SatuJari yang telah diamanahkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk 'PRU15: Cuci Kasi Bersih' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Sabtu. Rancangan itu dihoskan oleh Sam Ghani.

Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, peranan masyarakat adalah sama seperti makmum di dalam solat berjemaah.

Menurutnya, jemaah adalah mereka yang memilih imam atau ketua dan sekiranya imam membuat kesilapan, kumpulan makmum perlu menegur kesalahan tersebut.

Malah pada satu tahap katanya, makmum boleh mengambil tempat imam ketika keadaan memerlukan dan membawa jemaah menyempurnakan solat.

Untuk itu katanya, tugas seorang pemimpin adalah satu amanah besar dan sebagai rakyat masih perlu bertanggungjawab memimpin serta membimbing kumpulan pemimpin bersama-sama.

"Cuma mereka yang telah dipilih sebagai pemimpin telah ditetapkan dengan memikul beban serta tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada kita sebagai rakyat.

"Namun kita boleh melakukannya bersama-sama. Kita sebagai rakyat prihatin tetap akan meneruskan perjuangan ini bersama dengan kepimpinan agar negara ini betul-betul bersih dan bebas rasuah," katanya.