PRU15: PN menang semua Parlimen Terengganu

Penyokong PN mengikuti Majlis Pengumuman Keputusan PRU15 dan Amanat Pimpinan di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang pada malam Sabtu.
Penyokong PN mengikuti Majlis Pengumuman Keputusan PRU15 dan Amanat Pimpinan di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang pada malam Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Perikatan Nasional (PN) berjaya menyapu bersih semua lapan kerusi Parlimen di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

PN yang bertanding menggunakan logo bulan kekal menguasai Parlimen Marang, Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman.

Parlimen Besut yang merupakan kubu kuat BN turut jatuh ke tangan Pas.

Calon BN Parlimen Besut, Datuk Nawi Mohamad yang memperoleh 30,903 undi tewas kepada calon PN, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dengan majoriti 18,666 undi.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang pertama kali bertanding di Parlimen turut tewas kepada penyandang kerusi Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.

Ahmad memperolehi 38, 535 undi manakala Che Alias 65, 714 undi.

Di Parlimen Marang, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memperoleh kemenangan besar iaitu undi sebanyak 73,115 dengan majoriti 41,729 undi.

Keputusan itu menunjukkan peningkatan berbanding majoriti sebanyak 21,954 undi yang diperoleh pada PRU14 lalu.

Artikel Berkaitan:

Calon PN di Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim turut menang dengan majoriti besar apabila memperoleh 63,016 undi berbanding calon BN, Datuk Mohd Zubir Embong sebanyak 22,109 undi.

Penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berjaya mempertahankan kedudukannya apabila memperolehi 42,910 undi, menewaskan pencabar terdekatnya, calon BN, Datuk Rozi Mamat dengan majoriti 15,734 undi.

Datuk Dr Alias Razak menang selesa di Parlimen Kuala Nerus dengan jumlah undi sebanyak 56,697 manakala calon BN, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memperoleh 26,932 undi.

Wan Hassan Mohd Ramly pula bukan sahaja berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Parlimen Dungun yang sudah masuk penggal ketiga tetapi menang bergaya dengan majoriti sebanyak 34, 105 undi untuk PRU15.

Beliau mendapat undi keseluruhan sebanyak 59,720 undi mengatasi calon BN, Nurhisam Johari sebanyak 25615 undi.

Penyandang kerusi Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir menang selesa dengan majoriti 19,032 undi apabila memperolehi 50,768 undi mengatasi tiga pencabar lain.

Calon BN, Datuk Abdul Rahman Mat Yasin terpaksa akur meraih 31,736 undi.