Harap larangan bawa telefon bimbit dikekalkan: Tun M

Dr Mahathir menunjukkan jarinya yang telah dicelup dakwat SPR seusai mengundi di SK Titi Gajah pada Sabtu.
Dr Mahathir menunjukkan jarinya yang telah dicelup dakwat SPR seusai mengundi di SK Titi Gajah pada Sabtu.
A
A
A

ANAK BUKIT - Pengerusi Penaja Parti Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad berharap larangan pengundi membawa masuk telefon bimbit ke pusat mengundi bagi mengelakkan budaya rasuah dikekalkan dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus mengekalkan peraturan itu yang pertama kali diperkenalkan dalam Pilihanraya Raya Umum ke-15 (PRU15) berikutan didakwa boleh mengundang kebocoran rahsia pengundi dan dijadikan sebagai modal mendapatkan habuan.

Menurut Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, penggunaan habuan dibimbangi boleh mempengaruhi keputusan undi dan wajar dibendung.

“Apabila telefon bimbit tak boleh dibawa masuk dalam bilik mengundi, pengundi tak boleh dedahkan butiran siapa dia undi.

“Bawa telefon bimbit masuk, mereka boleh ambil gambar dan sebar kepada pihak tertentu untuk bagi tahu mereka undi siapa,” katanya ketika ditemui selepas selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah bagi Parlimen Kuala Kedah pada Sabtu.

Dr Mahathir berkata, kejadian menabur habuan dengan memberi wang sekiranya mengundi parti tertentu adalah satu kesalahan.

“Kalau mahu bagi duit, bagi sajalah, ini minta pangkah parti kami dan lepas tu kena bagi duit, banyak sangat (sebelum ini) penggunaan duit yang mempengaruhi undi.

“Saya harap kekalkan peraturan tersebut, jangan guna duit itu, haram sebab kebanyakan duit yang ditabur kepada pengundi adalah dari sumber yang haram (dicuri),” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada Oktober lalu, Dr Mahathir menyarankan agar SPR melarang pengundi membawa masuk telefon bimbit ke pusat mengundi sebagai mengelakkan budaya rasuah.

Bekas Perdana Menteri itu turut mengingatkan SPR bahawa pengundi boleh menunjukkan gambar kertas undi yang dipangkahnya kepada parti politik untuk mendapat habuan.

Dalam pada itu, calon Parlimen Langkawi itu berpuas hati dengan proses pengundian di Langkawi yang disifatkan lancar.

“Saya melawat dua tempat mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat dan Kuah, pagi tak ramai sangat keluar mengundi, semua dapat mengundi dengan baik.

“Saya dapati dalam PRU15 ini, ramai yang bersemangat untuk mengundi, ramai keluar tunaikan tanggungjawab itu,” katanya lagi.