Piala Dunia: Keputusan VAR lebih pantas, tepat

Penggunaan teknologi separa automatik bagi mengesan ofsaid yang paling ketat dan lebih pantas. Foto Agensi.
Penggunaan teknologi separa automatik bagi mengesan ofsaid yang paling ketat dan lebih pantas. Foto Agensi.
A
A
A

KEPUTUSAN ofsaid VAR akan lebih cepat dan tepat pada Piala Dunia Qatar selepas pengenalan teknologi baharu yang dibangunkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak tiga tahun lepas.

Perkara itu disahkan ketua pengadil, Pierluigi Collina pada Jumaat.

Teknologi separa automatik akan menentukan keputusan ofsaid yang paling ketat dan lebih cepat berbanding sistem sebelum ini selain paparan animasi tiga dimensi (3D).

Paparan kejadian itu juga akan disiarkan untuk peminat di stadium dan televisyen.

Collina. Foto Agensi
Collina. Foto Agensi

"(Ia) memberi kami kemungkinan untuk menjadi lebih pantas dan tepat daripada segi keputusan mengenai ofsaid," kata Collina kepada pemberita dalam taklimat menjelang kejohanan itu.

Beliau menjelaskan, menjadi ia lebih pantas tidak bermakna teknologi itu mempunyai penilaian ofsaid secara serta-merta.

"Ia akan menjadi kurang daripada sekarang, sudah tentu, tetapi kami tidak boleh mempunyai jawapan satu saat atau pada dasarnya secara langsung.

Artikel Berkaitan:

"Satu perkara yang saya ingin gariskan ialah keputusan muktamad milik pegawai perlawanan. VAR, pembantu pengadil yang menguruskan video dan insiden di padang adalah penghubung kepada pengadil," ujar Collina.

Sebanyak 12 kamera di setiap stadium akan menjejaki 29 titik pada badan setiap pemain dan penjejak di dalam bola perlawanan akan menghantar data ke bilik gerakan VAR 500 kali sesaat untuk membolehkan penilaian yang sangat tepat.

Teknologi baharu itu telah dicuba di dua kejohanan FIFA dan dalam perlawanan ujian di semua stadium yang menganjurkan perlawanan Piala Dunia.

"Kami menganalisis data dan hasilnya sangat positif.

"Ia adalah alat ofsaid sokongan yang paling tepat pada masa ini," ujar Pengarah Teknologi dan Inovasi FIFA, Johannes Holzmueller.

Beliau berkata, teknologi ofsaid sebelum ini tetap disediakan di Qatar tetapi hanya sebagai peralatan yang sedia digunakan jika berlaku perkara diluar jangka.

Collina berkata, pasukannya telah memberi taklimat kepada semua 32 jurulatih pasukan di dua bengkel dan melawat setiap kem pasukan untuk mengukuhkan mesej mereka kepada pemain.

Pengadil juga telah diarahkan untuk menyekat apa sahaja yang boleh membahayakan keselamatan pemain melibatkan layangan kad merah, termasuk siku di muka, terjahan dan kaki tinggi yang berbahaya.

"Memang memalukan jika ada antara pemain ini tidak dapat bermain kerana kecederaan yang disebabkan oleh pihak lawan.

"Jadi mesej pertama yang kami sampaikan adalah untuk melindungi keselamatan pemain. Sesuatu yang mungkin membahayakan keselamatan lawan, pemain dan jurulatih," katanya.

Simulasi dalam kalangan pemain walaupun kurang popular berbanding sebelum kemunculan VAR akan terus dihukum.

Collina berkata, FIFA juga komited untuk memastikan masa permainan digunakan sebaik mungkin selain pengadil telah diarahkan untuk menghentikan masa perlawanan dengan tepat dan menambah minit pada penghujung masa.