PRU15: PN segera cari calon ganti DUN Tioman

Datuk Seri Saifuddin Abdullah
Datuk Seri Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) akan segera mencari calon baharu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman bagi menggantikan calonnya, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia pada pagi Sabtu.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, berita kematian ini sudah memaklumkan kepada pucuk pimpinan tertinggi PN di pusat.

"PN akan meletakkan calon lain sebagai ganti. Oleh kerana kerusi terbabit adalah milik Pas, maka Pas akan memilih calon daripada parti mereka.

"Pemilihan itu akan dibuat secepat mungkin, namun bukan hari ini kerana semua pihak masing-masing sibuk dengan proses pengundian," katanya ketika ditemui pemberita di pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Sungai Talam di sini pada Sabtu.

Saifuddin sebelum itu membuang undi di sekolah terbabit pada jam 9.25 pagi.

Pada pagi Sabtu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek menangguh proses pengundian bagi kerusi DUN Tioman selepas Md Yunus meninggal dunia.

Penangguhan ini hanya melibatkan kerusi DUN berkenaan manakala pemilihan bagi kawasan Parlimen Rompin akan dilakukan seperti biasa.

Dalam pada itu Saifuddin turut menzahirkan rasa sedih di atas kehilangan calon tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin membuang undi di pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Sungai Talam pada Sabtu.
Saifuddin membuang undi di pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Sungai Talam pada Sabtu.

"Kita di PN terkejut selepas mengetahui salah seorang daripada calon kita meninggalkan dunia ketika semua sedang bersiap untuk mengundi.

"Ini satu kehilangan buat PN kerana beliau (Allahyarham) adalah calon yang baik dan ada potensi," katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang merupakan calon PN Parlimen Indera Mahkota berkata, PN akan menunggu proses berikutnya daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita menunggu keputusan daripada SPR bilakah tarikh baharu dan apa prosesnya," ujar beliau lagi.