PRU15: Ahmad Faizal terawal mengundi

IPOH - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjadi individu terawal membuang undi di Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Ihtidaiyah, Tambun Height, di sini pada Sabtu.
Beliau tiba di pusat mengundi itu kita kira-kira jam 7.55 pagi diiringi isteri, Datin Seri Nomee Ashikin Mohammed Radzi dan selesai mengundi pada 8.05 pagi.
Ahmad Faizal selepas itu sempat menyantuni orang ramai yang berada di pusat mengundi berkenaan.
Sementara itu, beliau yang ditemui pemberita selepas itu berkata, PN diyakini mampu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.
“Saya berasa amat positif, setelah dua minggu berkempen, saya mendapati sokongan orang ramai seumpama terdapat satu gelombang untuk memberi sokongan kepada PN.
“Ia sangat menggalakkan dan saya mendapati juga ia bukan sahaja di Parlimen Tambun, di seluruh negeri Perak, malah di seluruh negara, kita mendapat laporan-laporan yang sama,” katanya.
Selain Ahmad Faizal, turut membuang undi di kawasan Parlimen ini ialah calon BN, Datuk Aminuddin Md Hanafiah.
Beliau bersama isteri, Datin Rosnizan Abdul Aziz tiba di Sekolah Kebangsaan Tanah Hitam, Chemor pada jam 9.05 pagi dan selesai membuang undi jam 9.15 pagi.
Kerusi Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru, membabitkan Ahmad Faizal selaku penyandang menentang Aminuddin, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

