PRU15: Sokongan Melayu terhadap BN pada paras rendah - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa sokongan masyarakat Melayu terhadap BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berada di paras terendah dengan peratusan 26.7 peratus.

Menurut beliau, ia berdasarkan satu kaji selidik yang dilakukan pada Rabu dan Khamis lalu melibatkan 1,226 pengundi berdaftar yang dipilih di seluruh negara.

Ujarnya, sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) adalah hampir sama iaitu di antara 22 ke 23 peratus.

"Tahap sokongan Melayu kepada PH kali ini adalah lebih tinggi daripada PRU14.

"Jumlah pengundi Melayu yang belum membuat keputusan meningkat dari minggu lepas kepada 24 peratus iaitu pertambahan 4 peratus dalam masa seminggu.

"Ini menunjukkan lebih ramai pengundi Melayu menukar keputusan dari mengundi UMNO/BN pada minggu lepas kepada 'belum buat keputusan' yang membayangkan peralihan undi Melayu kepada PH," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

PRU15 diadakan susulan pembubaran Parlimen pada 10 November oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 5 November serta hari mengundi awal, 15 November manakala hari mengundi pada 19 November melibatkan 21,173,638 pengundi.

Ia juga menyaksikan seramai 945 calon termasuk 127 calon wanita menawarkan diri bertanding di 222 Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Pahang, Perlis, Perak dan Bugaya, Sabah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rafizi ketika mengulas kenyataan tersebut turut memaklumkan sokongan masyarakat Cina dan India terhadap PH telah kembali sebagaimana PRU14.

Jelas beliau, sokongan keseluruhan pengundi kepada PH mengatasi BN dan PN di semua peringkat umur.

"Peningkatan paling ketara ialah di kalangan pengundi 55 tahun ke atas, PH mendahului pada paras 36 peratus berbanding BN, 31 peratus dan PN, 11 peratus.

"Ia diikuti dengan kumpulan pengundi 25 ke 54 tahun, PH mendahului pada paras 30 peratus berbanding BN, 22 peratus dan PN, 18 peratus.

"Sokongan keseluruhan pengundi muda 18 ke 24 tahun adalah hampir sama bagi ketiga-tiga gabungan iaitu dalam julat 20 ke 25 peratus," ulasnya.

Tambah beliau, jika sokongan tersebut tidak berubah menjelang hari mengundi, PH dijangka memenangi 100 kerusi Parlimen.

"Saya doakan rakyat Malaysia terus membulatkan hati untuk membuat perubahan demi masa depan bila mengundi esok (Sabtu)," ujar Rafizi.