Rusia perkukuh kedudukan di Crimea

Kerja membaik pulih sedang giat dilakukan di bahagian Jambatan Kerch yang musnah akibat kejadian letupan pada 8 Oktober lalu. - Foto AFP
Kerja membaik pulih sedang giat dilakukan di bahagian Jambatan Kerch yang musnah akibat kejadian letupan pada 8 Oktober lalu. - Foto AFP
A
A
A

MOSCOW - Rusia pada Jumaat mengesahkan sedang memperkukuhkan kedudukan di Semenanjung Crimea yang dirampas daripada Ukraine pada 2014.

Langkah itu dibuat selepas tentera Ukraine menguasai semula Kherson yang merupakan wilayah jiran Crimea.

"Usaha membina kubu pertahanan kini giat dilakukan di bawah kawalan saya dengan tujuan untuk menjamin keselamatan kesemua penduduk wilayah ini," kata Gabenor dilantik Moscow, Sergei Aksyonov.

Sebelum ini, Crimea telah dijadikan sebagai tapak pelancaran untuk kempen operasi ketenteraan khas yang dilancarkan Kremlin ke atas Ukraine.

Rusia juga berikrar untuk mempertahankan tiga lagi wilayah Kiev yang diilhak pada September lalu walaupun Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy memberi amaran pasukan tentera mereka merancang untuk merampas semula Crimea.

Difahamkan, kedudukan Moscow semakin terancam selepas Jambatan Kerch yang menghubungkan semenanjung tersebut dengan tanah besar Rusia separa musnah akibat kejadian letupan yang didakwa telah didalangi Kiev pada Oktober lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, kira-kira 10 juta penduduk Ukraine terpaksa bergelap selepas bekalan kuasa elektrik terputus susulan siri serangan udara baharu dilancarkan Moscow yang jelas menunjukkan tiada tanda konflik berlarutan selama sembilan bulan itu akan reda.

Rusia didakwa melancarkan serangan bertubi-tubi menyasarkan kemudahan grid tenaga dan bangunan kediaman beberapa hari selepas pasukan tentera mereka berundur dari Kherson. - AFP

Artikel Berkaitan: