Pesawah desak JPS alih sekatan banjir Pengkalan Asam

Salleh Chin (kiri) dan Hashim Mat (kanan) menunjukkan sekatan banjir di Pengkalan Asam, Kangar yang didakwa menyebabkan petak sawah mereka ditenggelami air.
Salleh Chin (kiri) dan Hashim Mat (kanan) menunjukkan sekatan banjir di Pengkalan Asam, Kangar yang didakwa menyebabkan petak sawah mereka ditenggelami air.
A
A
A

KANGAR - Lebih 500 pesawah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang di sini mendesak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri mengalihkan sekatan banjir di Sungai Pengkalan Asam yang didakwa menyebabkan sawah mereka tenggelam.

Ketua Projek Sawah Secara Perladangan (PSSP) Kampung Telok, Salleh Chin, 60, berkata, masalah sawah padi tenggelam itu sudah berlanjutan sejak dua tahun lalu.

"Sejak sekatan banjir ini siap pada tahun lepas, pesawah dari 10 kampung iaitu Kampung Telok, Gabek, Alor Banat, Banat, Jejawi, Bakong, Kubang Gajah, Behor Mengkuang, Long Boh dan Alor Redis sering mengalami masalah sawah bertakung.

"Macam semalam (Khamis) di kawasan kami tidak hujan tapi pagi ini, saya lihat sawah kami sudah ditenggelami air. Ini disebabkan pengaliran air sungai bergerak sangat perlahan dari Tandop Pong ke Pengkalan Asam.

"Laluan sepanjang 11 kilometer itu pula mempunyai 302 selekoh maka aliran air sungai menjadi lebih perlahan dan menyebabkan berlaku limpahan ke dalam petak sawah," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Salleh memberitahu, walaupun satu perempat sekatan banjir di Pengkalan Asam telah dibuka namun pergerakan air sungai masih perlahan.

"Kami ingin memohon pihak JPS dan kerajaan negeri baru nanti untuk membuka terus sekatan banjir tersebut.

"Masalah kami tidak akan selesai selagi sekatan banjir itu tidak dialihkan. Kami tidak boleh mengusahakan bendang kerana anak padi rosak sekaligus menyebabkan kami hilang mata pencarian," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Hashim Mat, 74, langkah terbaik untuk membantu kira-kira 800 pesawah dalam DUN Tambun Tulang ini adalah dengan mengalihkan sekatan banjir di Pengkalan Asam.

"Projek sekatan banjir ini menyebabkan banyak pesawah terkesan. Kami harap, rintihan kami ini dapat didengari pihak berwajib," katanya.