PRU15: Parti politik kena terima apa sahaja keputusan

Mohammad Rizan
Mohammad Rizan
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) menggesa semua parti politik untuk menerima apa sahaja keputusan dan mandat baharu yang rakyat berikan pada Sabtu sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agungnya, Mohammad Rizan Hassan berkata, gesaan berkenaan demi kepentingan negara dan masyarakat kerana rakyat mengharapkan kestabilan politik serta perpaduan kaum.

Menurutnya, PKPB percaya semua parti-parti yang bertanding menyedari hakikat bahawa masa depan negara kita bergantung kepada kestabilan politik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

"Sejak 2018 hingga saat ini, rakyat negara kita khususnya golongan pekerja telah menempuh berbagai cabaran dan dugaan bergerak ke arah kesejahteraan ekonomi serta sosial.

"Walaupun ia situasi yang sukar, kaum pekerja sentiasa teguh memberi keyakinan kepada kepimpinan negara untuk memacu kestabilan politik dan perpaduan kaum," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohammad Rizan menegaskan, kebanyakan kaum pekerja berasa bimbang dengan situasi politik, ekonomi dan sosial di negara ini yang semakin jauh dari aspek kestabilan dan perpaduan.

"Kestabilan dan perpaduan ini amatlah penting kerana tanpa kedua-dua faktor ini kita tidak akan dapat mencapai kemajuan dan kita tidak akan dapat hidup dalam keadaan aman dan tenteram.

"Oleh itu seluruh rakyat mengharapkan selepas PRU15 semua ahli politik dapat bersatu dan bersepakat dalam segala tindakan yang dilakukan untuk negara," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, walaupun kadangkala terdapat perbezaan pendapat tentang perkara tertentu, namun kesungguhan untuk mengembalikan kecemerlangan negara perlulah menjadi keutamaan ahli politik.

Dalam pada itu, Mohammad Rizan berkata, PKPB turut mengajak semua pekerja terutama golongan belia untuk beramai-ramai keluar mengundi.

Jelasnya, ia kerana keluar mengundi itu merupakan sebahagian sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi dan jaminan kerjaya masa hadapan mereka.

ENDS