PRU15: Tetap keluar mengundi walaupun rumah dilanda banjir

Beberapa kawasan di Batu 10, Jalan Bidor dinaiki air pada Jumaat. (Gambar kecil: Nur Affadila, Muhammad Zairul Iman)
Beberapa kawasan di Batu 10, Jalan Bidor dinaiki air pada Jumaat. (Gambar kecil: Nur Affadila, Muhammad Zairul Iman)
A
A
A

TELUK INTAN - Walaupun rumah dilanda banjir, semangat pengundi di daerah ini tetap membara bagi menunaikan kewajipan dan tanggungjawab kepada negara.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan terjejas dapati beberapa buah rumah kampung ditenggelami air sehingga ke paras lutut orang dewasa.

Air parit di hadapan Klinik Desa Changkat Jong juga melimpah sehingga memasuki sedikit kawasan berhampiran.

Mangsa, Nur Affadila Abdul Mukti, 34, memberitahu, akan tetap keluar membuang undi di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong bersama ahli keluarga yang lain.

"Tengoklah esok (Sabtu). Ada yang tolong hantar kami ke pusat pengundian. Emak saya pun mungkin akan dibawa mengundi menggunakan kerusi roda.

"Mengenai banjir, sebelum ini memang setiap kali banjir dapat bantuan. Sumbangan dan bantuan diterima daripada pihak jawatankuasa kampung serta dari Pejabat Daerah Dan Tanah Hilir Perak.

"Cuma, sekarang belum lagi sebab banjir baru berlaku semalam (Khamis)," katanya yang tinggal di Batu 8, Changkat Jong, di sini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhammad Zairul Iman Saiful Bahri,19, berkata, sejak kecil kejadian banjir kerap berlaku di kawasan tersebut sebaik sahaja memasuki musim tengkujuh pada akhir tahun.

"Saya baru balik dari Kedah sebab bercuti mengundi. Kami harap pihak berwajib dapat turun padang dan tengok-tengok kawasan yang terjejas.

"Biasanya air akan surut dalam dua ke tiga hari. Kadang ban pecah dan akibatkan air naik sehingga ke dalam rumah kami," katanya yang merupakan pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah di Kulim.

Dalam pada itu, awal pagi Jumaat, pihak bomba menggunakan kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux bagi memindahkan mangsa banjir di beberapa kawasan dinaiki air di Batu 10, Jalan Bidor.

Komander Operasi, Abdul Hazhar Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.30 pagi yang memaklumkan kawasan di Changkat Jong dinaiki air.

"Terdapat mangsa banjir yang minta dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berdekatan dengan menggunakan Toyota Hilux.

"Operasi pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan.