Penduduk terpaksa hadap ‘banjir tradisi’

Damarulan (kiri) berbincang dengan penduduk kampung semasa di pusat pemindahan sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Lanjut pada Jumaat. (Gambar kecil dari kiri: Mohd Yazid Yakup (kiri) dan Suhaizan Sulaiman)
Damarulan (kiri) berbincang dengan penduduk kampung semasa di pusat pemindahan sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Lanjut pada Jumaat. (Gambar kecil dari kiri: Mohd Yazid Yakup (kiri) dan Suhaizan Sulaiman)
A
A
A

SEPANG - Penduduk di Labu Lanjut menyifatkan banjir yang sering melanda kawasan mereka sebagai ‘banjir tradisi’ kerana setiap penghujung tahun terpaksa mengalaminya.

Ketua Kampung Labu Lanjut, Damarulan Hassim berkata, setiap tahun mereka terpaksa menghadap situasi sama.

“Macam tahun ini memang dah jadi banjir tradisi bagi kami di sini, cuma (banjir) yang paling besar berlaku tahun lepas.” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu Lanjut pada Jumaat.

Difahamkan, sehingga kini seramai 143 orang mangsa banjir daripada 37 keluarga ditempatkan di PPS SK Kampung Baharu Lanjut.

Damarulan menjelaskan, kawasan Labu Lanjut yang dahulunya merupakan tanah ladang kelapa sawit kini dijadikan kawasan perumahan menjadi salah satu punca ia mudah dilanda banjir setiap kali hujan lebat.

“Tanah-tanah di kawasan ini tak sepatutnya dijadikan kawasan perumahan dan pihak majlis perbandaran tak boleh luluskan (pembinaan kawasan perumahan). Kalau nak luluskan, siapkan dahulu prasarana dan laluan air.

"Jadi kita minta pihak yang meluluskan pembinaan perumahan di sini jawab mengapa kawasan ini sering terjadinya banjir," ujarnya.

Sementara itu, seorang mangsa banjir, Suhaizan Sulaiman, 41, berkata, kejadian banjir kali ini merupakan tahun kedua dia terpaksa berdepan masalah bencana alam itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebelum ini banjir hanya berlaku di bahagian belakang kawasan perumahannya tetapi sejak tahun lalu kawasan rumahnya mula dilanda banjir sehingga paras dada.

Dia yang tinggal di situ sejak sembilan tahun lalu berkata, kawasan rumahnya mula dinaiki air pada jam 10 malam pada Khamis.

“Setakat hari ini, paras air banjir di kawasan rumah saya ini berada pada paras lutut dan berharap tidak hujan lagi.

"Disebabkan kawasan ini sering mengalami banjir, kami sekeluarga hanya ada perabot asas," jelasnya.

Seorang lagi mangsa banjir, Mohd Yazid Yakup, 47, turut mengakui kawasan yang didiaminya itu sering dilanda banjir.

Dia berkata, walaupun perbincangan dengan pihak berwajib, namun ia seolah-olah tiada jalan penyelesaian apabila perkara itu habis di situ sahaja.

“Kita jumpa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pihak berwajib (lain) pun, perkara itu habis di situ juga. Tindakannya kita tak nampak.

"Jadi kita harap pihak berwajib dapat melakukan tugas mereka dalam mengatasi masalah ini dan tidak hanya terhenti di satu pihak sahaja," jelasnya.