Pas Perak lapor polis terhadap Kor Ming

Fairuz Hafiizh (dua dari kiri) selepas membuat laporan polis di IPD Ipoh pada Jumaat.
Fairuz Hafiizh (dua dari kiri) selepas membuat laporan polis di IPD Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Pas Perak membuat laporan polis terhadap Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan hasutan.

Setiausaha Pas Perak, Fairuz Hafiizh Othman membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, Kor Ming dalam siri kempennya telah mengeluarkan kenyataan berupa tuduhan dengan menggelarkan Pas sebagai pencacai agama dan membawa agenda pentadbiran Taliban.

"Pas mengambil serius kenyataan terbuka beliau yang tersebar di media sosial. Tuduhan itu jelas bersifat hasutan dan mempersenda agama Islam dengan gambaran yang hodoh.

"Dakwaan mengatakan Pas akan mengancam nilai sekular dalam negara dilihat telah menafikan pengiktirafan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

"Tuduhan beliau berkaitan negara Taliban yang didakwa akan dilaksanakan parti ini juga adalah bercanggah dengan pemerintahan di beberapa negeri khususnya Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dipimpin Pas," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, segala bentuk tuduhan tersebut menunjukkan bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu jahil tentang konsep Islam yang diperjuangkan Pas.

Apatah lagi katanya, kenyataan itu dibuat semasa tempoh kempen dan boleh disifatkan sebagai berniat jahat atas perjuangan Pas yang selama ini menjunjung Perlembagaan negara.

Artikel Berkaitan:

"Dakwaan beliau ini adalah tanda prasangka buruk dan tidak patut ada dalam nilai adab yang dipupuk dalam masyarakat.

"Pas konsisten untuk terus memimpin rakyat menolak budaya fitnah dan provokasi seumpama ini," katanya.

Dalam laporan sebuah portal berita memetik, penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan itu memberi amaran pentadbiran Malaysia akan menjadi seperti ‘negara Taliban’ bagi memastikan pengundi bukan Islam tidak mengundi calon Perikatan Nasional (PN).

Beliau turut dilapor berkata, sekiranya PN yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berasaskan Melayu dan Pas (Islamik) berkuasa, Malaysia akan menjadi seperti ‘Afghanistan’.