Tuan Ibrahim saman Rafizi

Tuan Ibrahim (kiri) telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap Rafizi (kanan).
Tuan Ibrahim (kiri) telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap Rafizi (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, writ itu difailkan pada petang Khamis melalui peguamnya, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid.

Menurutnya, notis tuntutan telah dihantar kepada Rafizi pada 10 November lalu, susulan kenyataannya yang didakwa tidak bertanggungjawab dan memfitnah beliau.

"Saya memberikan masa tujuh hari untuk beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.

"Namun begitu, Rafizi tidak memberikan apa-apa respons bertulis kepada peguam saya, namun mengambil tindakan terus-terusan memfitnah dengan kenyataan-kenyataan yang tidak berpaksi kepada kebenaran," katanya.

Pada Isnin lalu, Rafizi dalam satu sidang media menuntut penjelasan daripada Timbalan Presiden Pas itu berhubung status projek tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dalam kenyataan balas pada Selasa memaklumkan, tiada kelulusan boleh diberikan terhadap mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara.

Jelas Tuan Ibrahim, perbuatan Rafizi didakwa bertujuan untuk memfitnah dan menghancurkan kredibilitinya menjelang pengundian pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, tindakan perlu diambil mengikut lunas undang-undang untuk mencari keadilan dan kebenaran demi menghentikan budaya politik fitnah.

"Saya berharap mereka yang telah difitnah Rafizi turut akan mengikut jejak saya.

"Insya-ALLAH, saman tersebut telah diterima oleh mahkamah dan peguam saya akan menyampaikan saman tersebut kepada Rafizi.

"Saya berharap beliau berani berhadapan dengan proses mahkamah mengikut lunas undang-undang dan bukan hanya berkokok melaungkan fitnah di media-media sosial dan pentas ceramah.

"Saya sahut cabaran Rafizi untuk menyaman beliau. Writ saman dan pernyataan tuntutan itu setebal 73 muka surat dan pihak mahkamah telah menerimanya," jelasnya.