Dasar kerajaan Keluarga Malaysia jadi asas

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama masyarakat Tiong Hua. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama masyarakat Tiong Hua. - Foto Bernama
A
A
A

DASAR dilaksanakan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini sudah menjadi asas bagi membolehkan beliau mencapai iltizam digariskan sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, usaha ke arah itu dapat dilihat menerusi beberapa inisiatif dilaksanakan kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Naib Presiden UMNO itu.

“Kalau kita lihat, iltizam pertama yang berkaitan perpaduan, perkara itu memang sering ditekankan dan merupakan sebahagian daripada slogan Keluarga Malaysia yang sentiasa mendasari ucapan Perdana Menteri.

“Kedua, usaha memakmurkan ekonomi itu memang telah dibuat oleh kerajaan. Ia selaras dengan pembentangan Bajet 2023 pada Oktober lalu yang menekankan dasar dan inisiatif kerajaan memakmurkan lagi ekonomi negara.

“Ismail Sabri juga dilihat ada melakukan lawatan khas ke luar negara untuk menarik pelaburan asing dan memperkenalkan pelbagai dasar baharu terutamanya untuk meningkatkan tahap ekonomi negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ahmad Martadha
Ahmad Martadha

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri sebelum ini sememangnya menunjukkan komitmen untuk meningkatkan tahap integriti urus tadbir di dalam negara.

“Pertama, kita lihat tidak berlakunya campur tangan dalam kes mahkamah. Kedua, banyak penekanan diberikan untuk memastikan pemerkasaan integriti diperkukuhkan, antaranya pengenalan Akta Anti Lompat Parti.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa sama, iltizam untuk meningkatkan tadbir urusan ini jika dilaksanakan dapat memastikan pentadbiran negara diuruskan dengan lebih cekap dan berhemah,” ujarnya.