Tragedi MH17: Tiga dihukum penjara seumur hidup

Panel hakim itu mendapati Girkin, Dubinskiy dan Kharchenko bertanggungjawab memindahkan peluru berpandu BUK berkenaan dari pangkalan tentera di Rusia dan menempatkannya ke tapak pelancaran. - Foto Agensi
Panel hakim itu mendapati Girkin, Dubinskiy dan Kharchenko bertanggungjawab memindahkan peluru berpandu BUK berkenaan dari pangkalan tentera di Rusia dan menempatkannya ke tapak pelancaran. - Foto Agensi
A
A
A

THE HAGUE - [DIKEMAS KINI] Sebuah mahkamah Belanda pada Khamis mensabitkan kesalahan terhadap tiga tertuduh dan menggugurkan tuduhan ke atas seorang lagi yang didakwa menembak jatuh pesawat MH17 di ruang udara Ukraine ketika ia dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.

Ketua panel hakim, Hendrik Steenhuis berkata, dua rakyat Rusia, Igor Girkin, Sergei Dubinskiy dan warga Ukraine, Leonid Kharchenko didapati bersalah atas dakwaan membunuh dan sengaja menyebabkan nahas pesawat Malaysia Airlines tersebut manakala seorang lagi warga Rusia.

"Ketiga-tiga tertuduh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup," katanya ketika membacakan keputusan akhir yang dinanti-nantikan waris keluarga 298 mangsa penumpang dalam tragedi itu walaupun kesemua defendan masih gagal menghadirkan diri ke Kompleks Kehakiman Schiphol di Badhoevedorp.

Panel hakim itu sebulat suara mendapati Girkin, Dubinskiy dan Kharchenko bertanggungjawab memindahkan peluru berpandu BUK berkenaan dari pangkalan tentera di Rusia dan menempatkannya ke tapak pelancaran walaupun bukan mereka yang melancarkan misil tersebut.

Bukti bagaimanapun tidak mencukupi untuk mendakwa Pulatov yang menjadi satu-satunya defendan yang diwakili peguam.

"Terdapat bukti jelas MH17 ditembak jatuh oleh misil dan ia dilancarkan dari kawasan timur Ukraine yang dikawal puak pemisah pro-Rusia, Republik Rakyat Donetsk (DPR).

Wakil panel hakim memeriksa bangkai pesawat MH17 yang dibina semula di pangkalan tentera Gilze-Rijen selatan Belanda pada Mei 2021.
Wakil panel hakim memeriksa bangkai pesawat MH17 yang dibina semula di pangkalan tentera Gilze-Rijen selatan Belanda pada Mei 2021.

"Bukti yang dikemukakan termasuk gambar jejak asap, keterangan saksi, imej satelit dan video, pintasan telefon serta serpihan peluru berpandu yang berjaya dikumpulkan," jelas Steenhuis.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut menolak 'senario alternatif' yang dicadangkan pasukan pembelaan termasuk dakwaan Moscow yang mengaitkan kejadian itu dengan jet pejuang Ukraine.

"Panel hakim juga mendapati DPR berada di bawah kawalan Persekutuan Rusia ketika tragedi menggemparkan itu," ujarnya lagi.

Sehingga kini, Kremlin masih menafikan ia 'mengawal' DPR pada waktu tersebut yang bermakna kesemua defendan tidak boleh menuntut imuniti daripada pendakwaan sebagai anggota tempur yang sah.

Perbicaraan yang bermula pada Mac 2020 itu bertujuan untuk mendapatkan pembelaan terhadap kesemua mangsa penumpang dari 10 negara termasuk 196 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia dan 38 warga Australia.

Kira-kira lapan tahun kemudian, wilayah yang menjadi lokasi nahas pesawat MH17 telah menjadi medan pertempuran utama kempen pencerobohan Rusia yang berlarutan selama sembilan bulan di Kiev.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dalam satu kenyataan turut menyambut baik 'keputusan penting' yang dibuat panel hakim di The Hague.

"Ia adalah hukuman pertama ke atas pelaku yang bertanggungjawab menembak jatuh MH17. Ia sangat penting kerana 'rasa bebas' daripada hukuman tegas boleh membawa kepada tindakan untuk melakukan jenayah baharu," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan MH17, Piet Ploeg yang kehilangan beberapa ahli keluarganya dalam tragedi tersebut berharap keputusan itu dapat membantu waris meneruskan kehidupan masing-masing walaupun ia bukanlah pengakhiran kepada usaha mereka untuk menuntut bela. - AFP