Tiga daerah Kelantan ada nadir bumi bernilai RM125 bilion

Takiyuddin menunjukkan senarai lokasi potensi unsur nadir bumi di Kelantan.
Takiyuddin menunjukkan senarai lokasi potensi unsur nadir bumi di Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga daerah di negeri ini dikenal pasti berpotensi mempunyai unsur nadir bumi berjumlah 2,562,500 tan dengan nilai RM125 bilion sekali gus bakal memberi manfaat kepada rakyat

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tiga daerah berkenaan ialah Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang.

Menurut beliau, mengikut kajian awal, nadir bumi yang bukan radio aktif itu paling banyak ditemui di Aring, Gua Musang dengan keluasan 100,000 hektar manakala di Stong, Batu Melintang, Jeli dan Tanah Merah masing- masing seluas 80,000 hektar dan 25,000 hektar.

"Setakat ini, prosedur operasi standard (SOP) untuk mencari sumber nadir bumi sudah siap dan proses seterusnya akan dilaksanakan selepas perbincangan bersama kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Stong Geopark Kebangsaan Kepada YAB Menteri Besar Kelantan.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Setiausaha KeTSA, Datuk Rosli Isa.

Tambah beliau, kerajaan negeri perlu melakukan beberapa persediaan termasuk tender dan mengeluarkan permit sebelum pengeluaran bahan mineral itu.

"KeTSA melalui Jabatan Mineral dan Geosains akan memberi khidmat nasihat bagi membolehkan kelancaran prosedur seterusnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Takiyuddin ketika berucap pada majlis berkenaan memaklumkan Stong Geopark sebagai geopark kebangsaan kelapan selepas Sarawak Delta di Sarawak dan Geopark Gombak/Ulu Langat.

Menurut beliau, antara keistimewaan Stong Geopark ialah terdapat air terjun Jelawang yang diiktiraf tertinggi di Asia Tenggara.

Selain itu, beliau turut berharap kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dapat saling bekerjasama untuk memastikan keseimbangan pemuliharaan sumber asli dan pembangunan infrastruktur.

"Kita mahu memastikan geopark ini dapat diuruskan dengan baik selaras dengan agenda pembangunan mampan," katanya.