PRU15: Calon PN umum empat tawaran baharu

Mohd Fazrul (dua dari kanan) bertemu penduduk setempat dan mengedarkan risalah berkenaan empat tawarannya semasa berkempen di pekan Simpang Renggam, Kluang pada Khamis.
Mohd Fazrul (dua dari kanan) bertemu penduduk setempat dan mengedarkan risalah berkenaan empat tawarannya semasa berkempen di pekan Simpang Renggam, Kluang pada Khamis.
A
A
A
KLUANG - Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Simpang Renggam, Mohd Fazrul Kamat mengumumkan empat tawaran baharu sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Beliau berkata, tawaran tersebut tidak diberitahu sebelum ini dan diumumkan dalam masa berbaki dua hari sebelum tamat tempoh berkempen.

"Empat tawaran baharu ini segaja dilewatkan untuk dimaklumkan sebagai usaha terakhir memikat pengundi selepas melihat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat.

"Perkara utama yang menjadi taruhan adalah ingin membawa suara Simpang Renggam dan peranan di Dewan Rakyat dengan menubuhkan jawatankuasa khas mengumpulkan kepakaran tempatan, pemimpin komuniti, badan bukan kerajaan untuk membincangkan dan membawa isu setempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa berkempen di pekan Simpang Renggam di sini pada Khamis.

Pada PRU15, Mohd Fazrul akan berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik, calon BN, Datuk Seri Hasni Mohammad dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Kamal Kusmin.

Katanya, tawaran itu bertujuan membawa isu setempat ke Dewan Rakyat untuk perhatian segera selain membincangkan polisi dan dasar nasional di peringkat kebangsaan yang terkait secara langsung dengan kehidupan orang-orang Simpang Renggam.



"Tawaran kedua adalah membangun dan memperkasakan ekonomi penduduk setempat dengan menjadikan Simpang Renggam sebagai hab ekonomi digital luar bandar yang memfokuskan produk asas tani, buatan sendiri dan produk makanan," ujarnya.

Anak jati Kampung Perak di Machap di sini itu juga menawarkan Simpang Renggam sebagai Parlimen yang prihatin, berkebajikan dan membela.

Ujarnya, melalui tawaran itu juga akan memperkenalkan kupon barangan asas makanan sebagai strategi serampang dua mata iaitu memperkasakan perniagaan runcit tempatan dan membantu golongan kurang berkemampuan.
Artikel Berkaitan:


Sementara tawaran terakhir katanya, adalah kebajikan untuk anak muda tempatan dengan menyediakan hab premis perniagaan dengan konsep gerai pihak berkuasa tempatan dan memfokuskan bidang kemahiran melalui kerjasama dengan kerajaan Persekutuan.

"Saya tidak akan menjanjikan sesuatu yang di luar kemampuan kerana tidak mahu masyarakat setempat terjerat dengan janji yang tidak tertunai yang secara tidak langsung memberikan kesan pada perkhidmatan saya nanti," katanya.

Beliau amat berharap, lebih ramai lagi masyarakat setempat memberikan sokongan kepadanya agar dapat menjadi anak tempatan pertama berkhidmat sebagai wakil suara rakyat di Simpang Renggam.