PRU15: Enam kertas siasatan dibuka di Terengganu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu membuka enam kertas siasatan sepanjang tempoh 12 hari kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri ini bermula 5 November lalu.

Ketua Urusetia PRU15 Polis Kontinjen Terengganu, Superintendan Mohd Aluwi Husain berkata, dua tangkapan turut dibuat dalam tempoh tersebut susulan dua laporan polis yang diterima di Kuala Jengai, Dungun dan Chukai, Kemaman.

"Laporan terbaharu diterima pada 16 November, Rabu di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 6.40 petang oleh seorang pengadu yang mendapati 'banner' BN yang dipasang telah hilang.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, sebanyak 711 permohonan ceramah dari BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) telah diterima sepanjang tempoh kempen dan semuanya telah diluluskan.

Mohd Aluwi berkata, sehingga kini lima kawasan Parlimen iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu masih kekal tanpa sebarang insiden.

"Polis mengingatkan semua penyokong parti yang bertanding supaya menjaga batas dan kelakuan sepanjang tempoh berkempen berbaki dua hari lagi.

"Kita harap semua pihak tidak menimbulkan sebarang bentuk provokasi ke atas satu sama lain bagi mengelak polis mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Artikel Berkaitan: