PDRM jamin PRU15 berjalan dengan aman, lancar

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan memastikan keselamatan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada Sabtu terkawal sekali gus proses pengundian akan berjalan lancar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya bersiap siaga dan pelbagai elemen telah digerakkan bagi memastikan kelancaran hari mengundi terjamin.

Menurutnya, setakat ini proses penamaan calon telah berjalan lancar walaupun terkesan beberapa insiden terpencil dan berjaya ditangani dengan baik.

"Sepanjang tempoh berkempen, keadaan keselamatan adalah terkawal tanpa berlaku sebarang insiden yang menggugat ketenteraman awam.

"Insya-ALLAH, PDRM yakin bahawa proses pembuangan undi akan berlangsung dengan lancar dan memberi jaminan bahawa segala langkah telah diambil bagi memastikan masyarakat dapat keluar menunaikan hak serta tanggungjawab dalam suasana selamat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang berita palsu yang bertujuan membangkitkan kegelisahan dan rasa takut atau spekulasi mengenai ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Katanya, PDRM akan memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan pilihan raya kali ini berjalan dengan aman dan tenteram.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi yang mengancam ketenteraman awam serta keselamatan negara," ujarnya.

Artikel Berkaitan: