Kelantan ucap terima kasih kerana teruskan ECRL

Mohd Amar
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyambut baik keputusan kerajaan Persekutuan untuk meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal memberi manfaat yang besar kepada negeri-negeri yang terlibat.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, sebagaimana pendirian sebelum ini, Kerajaan negeri Kelantan berharap projek tersebut memberi impak yang positif kepada ekonomi negeri ini.

“Kita mengalu-alukan sebarang projek yang boleh membangunkan negeri dan memberi peluang pekerjaan dan pendapatan kepada rakyat.

“Dulu pun kita menyokong penuh ECRL ini walaupun ada pandangan-pandangan negatif mengenai perkara tersebut diperkatakan, tapi kita rasa kebaikan itu lebih banyak daripada keburukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, di sini hari ini.

Dalam masa sama, Mohd Amar berkata, kerajaan negeri berharap projek-projek mega yang lain dapat dilaksanakan sebaik mungkin di negeri ini, sebagaimana yang pernah diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: ECRL diteruskan dengan pengurangan kos RM21.5 bilion

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, projek ECRL yang tergantung sejak Julai 2018 akan disambung semula dengan pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion bagi fasa 1 dan 2.

Pengurangan kos asal dari RM65.5 bilion kepada RM44 bilion itu berjaya dikurangkan setelah Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd sepakat memeterai satu perjanjian tambahan.

Perjanjian tambahan yang merangkumi aspek Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan & Pentauliahan (EPCC) ECRL dapat dicapai selepas rundingan antara syarikat-syarikat yang terlibat serta kerajaan Malaysia dan China diadakan dalam tempoh beberapa bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jajaran ECRL akan diubah: Anthony Loke

Terdahulu Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun ia diteruskan namun jajaran ECRL akan diubah dengan memberi manfaat kepada Negeri Sembilan jika ia diteruskan selepas rundingan diadakan dengan kerajaan China.