ECRL diteruskan dengan pengurangan kos RM21.5 bilion

A
A

PUTRAJAYA - Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang tergantung sejak Julai 2018 diumumkan akan disambung semula dengan pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion bagi fasa 1 dan 2.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengurangan kos asal dari RM65.5 bilion kepada RM44 bilion itu berjaya dikurangkan setelah Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd sepakat memeterai satu perjanjian tambahan.

"Perjanjian tambahan yang merangkumi aspek Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan & Pentauliahan (EPCC) ECRL dapat dicapai selepas rundingan antara syarikat-syarikat yang terlibat serta kerajaan Malaysia dan China diadakan dalam tempoh beberapa bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jajaran ECRL akan diubah: Anthony Loke

"Pengurangan ini akan memberi manfaat kepada Malaysia dan meringankan beban kewangan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, butiran lanjut mengenai perjanjian tersebut akan dimaklumkan di dalam satu sidang media pada Isnin ini.

Sebelum ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook membuat kenyataan bahawa projek ECRL akan diubah dengan memberi manfaat kepada Negeri Sembilan sekiranya ia diteruskan selepas rundingan diadakan dengan kerajaan China hujung bulan ini.

Beliau berkata, keputusan itu dijangka dicapai dalam lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke republik itu yang antara lain akan membincangkan mengenai pengurangan kos pembinaan projek mega berkenaan.