50 juta pokok dijangka ditanam tahun ini

Takiyuddin (kiri) bertemu seorang pengusaha salon, Vivi Sumanthi di Bazar Tok Guru, Kota Bharu.
Takiyuddin (kiri) bertemu seorang pengusaha salon, Vivi Sumanthi di Bazar Tok Guru, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 50 juta pokok dijangka akan dapat ditanam di seluruh negara menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok pada tahun ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jangkaan pencapaian itu dibuat berdasarkan pencapaian penanaman pokok melebihi 47 juta pokok setakat ini.

“Sasaran kempen untuk tahun 2022 adalah 40 juta pokok, namun ketika ini kita sudah melebihi 7 juta pokok ditanam.

“Mungkin boleh mencapai 50 juta pokok ditanam sehingga hujung tahun ini melalui kempen yang diadakan di seluruh negara,” katanya ketika ditemui selepas Perjumpaan dan Dialog bersama Peniaga Bazar Tok Guru, di sini, pada Rabu.

Takiyuddin berkata, kempen tersebut dibuat dalam tempoh lima tahun bagi membolehkan negara mencapai hasrat tahap sifat karbon seawal tahun 2050.

“Usaha diteruskan untuk penghijauan bumi dan rakyat digalakkan aktif menanam pokok supaya negara mencapai lebih 50 peratus dilitupi pokok dan tanaman hijau,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga calon Parlimen Kota Bharu memberi jaminan akan memikirkan langkah terbaik bagi penambahbaikan kepada Bazar Tok Guru.

“Bazar Tok Guru adalah legasi peninggalan warisan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengusahakan bazar ini supaya dibangunkan.

Artikel Berkaitan:

“Bazar ini memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil terutama wanita supaya mempunyai tempat niaga dan kini semakin berkembang maju,” katanya.