PRU15: GRS-BN mampu bolot lebih 15 kerusi Parlimen Sabah

Hajiji Noor - Bernama Photo
Hajiji Noor - Bernama Photo
A
A
A

SANDAKAN - Kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN dijangka akan mampu membolot lebih 15 kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yakin bahawa muafakat bagi kedua-dua parti itu akan memenuhi sasaran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan beliau di Gum-Gum pada Selasa.

"Saya ingin nyatakan kita (muafakat GRS-BN) mungkin akan dapat (memenangi) lebih dari 15 kerusi parlimen di Sabah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Kampung Bongaya Baru, Batu Sapi, di sini pada Rabu.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS dalam ucapannya berkata, kerajaan GRS-BN amat menekankan politik pembangunan dan politik perpaduan sebagai landasan untuk membawa kestabilan dan kemajuan di negeri ini.

Katanya, kedua-dua aspek itu sangat penting untuk masa depan Sabah dan rakyatnya berbanding pendekatan politik mengikut emosi hingga rakyat dan kawasan tidak terbela.

Beliau berkata, atas sebab itu rakyat di negeri ini perlu memberi kemenangan kepada calon GRS-BN pada PRU15 supaya rakyat di semua kawasan mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan.

"Jadi bagi saya kalau kita berpolitik, kita mesti memikirkan politik pembangunan, kemajuan dan politik perpaduan. Jangan pakai perasaan. Ada yang kita tidak senang hati sikit-sikit, tidak mahu undi calon kerajaan, jadi kita rugi," katanya.

"Kalau mengundi calon yang tidak boleh membentuk kerajaan pun lagi rugi, buang masa, rugi saja. Jadi, pilihlah calon nombor lima (calon GRS Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan)," katanya.

Artikel Berkaitan: