Menteri Pertahanan Sudan ketuai kerajaan peralihan

Penunjuk perasaan bersorak selepas menerima berita peletakan jawatan Omar al-Bashir di Khartoum kelmarin.
Penunjuk perasaan bersorak selepas menerima berita peletakan jawatan Omar al-Bashir di Khartoum kelmarin.
A
A
A

KHARTOUM - SUDAN. Menteri Pertahanan Sudan, Awad Mohamed Ahmed Ibn Auf telah mengangkat sumpah sebagai ketua majlis peralihan di Sudan semalam, beberapa jam selepas Presiden Omar al-Bashir dipaksa meletak jawatan.

Ibn Auf turut mengumumkan Ketua Staf Angkatan Tentera Sudan, Kamal Abdul Marouf Al-Mahi sebagai timbalannya.

Terdahulu, Ibn Auf mengumumkan penyingkiran Bashir dan kerajaannya.

Beliau turut mengisytiharkan perintah darurat selama tiga bulan dan perintah berkurung selama sebulan.

Menteri pertahanan itu berkata sebuah majlis ketenteraan akan dibentuk untuk mentadbir negara dalam tempoh peralihan selama dua tahun.

Beliau turut mengumumkan penggantungan perlembagaan sementara Republik Sudan dan penutupan ruang udara negara itu selama 24 jam bersama-sama laluan sempadan di seluruh Sudan sehingga diberitahu kelak.

Sejak 19 Disember lalu, ribuan penduduk Sudan mengadakan tunjuk perasaan menuntut Bashir yang berkuasa sejak 30 tahun lalu disingkirkan. - AFP

Artikel Berkaitan: