PRU15: Zahidi janji wujud 10,000 peluang pekerjaan, perniagaan

Zahidi (depan dua dari kanan) mendekati golongan veteran tentera untuk mendengar permasalahan mereka.
Zahidi (depan dua dari kanan) mendekati golongan veteran tentera untuk mendengar permasalahan mereka.
A
A
A
PADANG BESAR - Mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan dan perniagaan antara agenda utama dalam manifesto calon Bebas bagi kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Zahidi yang juga calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi berkata, langkah itu termasuk membuka semula aktiviti perniagaan di kawasan Wang Kelian yang ditutup sebelum ini kerana perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, aktiviti perniagaan di Wang Kelian harus diaktifkan segera berikutan di sebelah sempadan Thailand kegiatan ekonominya telah bermula sejak beberapa bulan lalu.

“Di sempadan Malaysia pula, aktiviti perniagaan yang telah sekian lama tutup perlu dihidupkan kembali. Ini dapat mewujudkan peluang perniagan kepada usahawan dan peniaga.

“Rakyat tertanya-tanya bila boleh berniaga di Wang Kelian kerana pada masa ini, rakyat Malaysia berduyun-duyun masuk ke Thailand untuk melancong dan membeli-belah. Sudah tiba masanya aktiviti perniagaan di kawasan Malaysia iaitu Wang Kelian diaktifkan semula.

“Itu baru di Wang Kelian, manakala lebih banyak peluang perniagaan dan perniagaan akan diwujudkan dengan kemasukan pelaburan projek-projek berimpak tinggi ke Padang Besar,” katanya ketika berkempen bertemu penduduk dalam kawasan Parlimen Padang Besar pada Rabu.

Daripada lima agenda utama manifestonya, Zahidi memberitahu, beliau mahu mewujudkan sebuah litar pemotoran bertaraf antarabangsa di Sungai Chuchuh untuk meningkatkan aktiviti sukan, aktiviti pelancongan dan memperkasakan prasana digital di kawasan berkenaan.

“Saya juga akan terus memperjuangkan nasib veteran tentera dan balu-balu mereka termasuk memberi keistimewaan iaitu tambang percuma kepada veteran tentera dan balu mereka yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api.

“Kerajaan juga harus mempertimbangkan diskaun 50 peratus atau lebih lagi kepada veteran tentera yang mahu menggunakan pengangkutan kapal terbang.



“Kerajaan juga harus mewujudkan satu sistem di mana veteran tentera dan balu mereka diberikan harga istimewa jika mereka hendak membeli barangan keperluan utama seperti beras, tepung, gula dan telur,” ujarnya.
Artikel Berkaitan:


Sementera itu, ketika berdialog dan menjawab pertanyaan penduduk, Zahidi berkata, beliau bukan menentang BN atau UMNO yang meletakkan calon di Padang Besar.

Sebaliknya kata Zahidi, tindakannya bertanding Bebas apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan calon bukan dari Perlis untuk bertanding di sini.

“Jika saya menyatakan sokongan kepada calon luar Perlis yang bertanding di bawah tiket UMNO dan BN, saya tidak mahu satu hari nanti rakyat di sini menyalahkan saya dan mendakwa saya yang membawa calon orang luar Perlis untuk bertanding di kawasan ini,” katanya.