[VIDEO] Ahmad Zahid tidak akan jadi PM jika BN menang PRU15: Mohamad

Mohamad ketika memberi ceramah di Rembau pada Selasa.
Mohamad ketika memberi ceramah di Rembau pada Selasa.
A
A
A

REMBAU - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan menjadi Perdana Menteri sekiranya BN menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau menegaskan, UMNO telah pun membuat keputusan bahawa calon Perdana Menteri ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, bagaimanapun ia terletak kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

"Jangan diragukan lagi. Tapi terpulanglah pada budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Kita hanya boleh mencadangkan saja.

"Seperti di Johor, kita mencadangkan nama Datuk Seri Hasni Mohammad kekal sebagai Menteri Besar, tetapi Sultan Johor mahukan orang lain," katanya ketika memberi ceramah di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kundur di sini pada Selasa.

Beliau yang merupakan Pengarah Pilihan Raya BN berkata, Pakatan Harapan (PH) dilihat secara berterusan memainkan isu tersebut kerana mereka tiada modal lain dan cuba mengelirukan rakyat.

Mohamad berkata, ia termasuklah memomokkan rakyat yang BN akan melepaskan pemimpin tertentu sekiranya BN menjadi kerajaan.

"Semasa 60 tahun BN mentadbir negara, berapa banyak pemimpin kita yang masuk penjara? Begitu juga ketika Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri pun kita tidak ada campur tangan kes Datuk Seri Najib Tun Razak.

Artikel Berkaitan:

"Tapi PH, sebaik saja mereka memerintah negara, mereka lantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan kerja pertama dilakukan ialah melepaskan Lim Guan Eng walaupun kes beliau ketika itu sedang didakwa.

"Ada juga pemimpin mereka yang dikenakan hukuman penjara 18 bulan tetapi ditukar kepada berkelakuan baik 20 bulan," katanya.

Selain itu beliau berkata, meskipun masih tinggal beberapa hari lagi tempoh berkempen, namun rakyat dijangka telah pun membuat keputusan parti mana yang akan diundi mereka pada pilihan raya kali ini.

Ini kerana katanya, rakyat sudah meluat dengan keadaan yang berlaku kepada negara selepas PRU14.