Jumlah mangsa banjir kilat di Johor tidak berubah

Keadan banjir kilat di Tangkak beberapa hari lalu. - Foto APM Tangkak
Keadan banjir kilat di Tangkak beberapa hari lalu. - Foto APM Tangkak
A
A
A

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir kilat di beberapa lokasi di Johor dilaporkan masih kekal dengan 345 mangsa daripada 85 keluarga setakat 8 pagi, Rabu.

Menurut kenyataan daripada pihak Pengurusan Bencana Negeri, kesemua mangsa berkenaan kini masih ditempatkan di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Segamat, Kluang, Pontian dan Tangkak.

“Setakat ini tidak ada pertambahan mangsa, namun jumlah 345 mangsa ketika ini adalah berikutan tambahan kepada dua mangsa yang dicatatkan pada 1 pagi tadi (Rabu).

“Tidak ada PPS baharu dibuka dan menyaksikan enam PPS di lima daerah melibatkan dua di Segamat, Kluang, (1), Pontian (satu) dan dua di Tangkak masih beroperasi setakat ini bagi menempatkan kesemua mangsa banjir kilat berkenaan,” menurut kenyataan berkenaan.

Suasana salah sebuah PPS di Kluang. - Foto APM Kluang
Suasana salah sebuah PPS di Kluang. - Foto APM Kluang

Untuk rekod, Tangkak menjadi daerah terbaru dilanda banjir kilat di Johor pada susulan hujan lebat pada petang Ahad lalu hingga menyaksikan dua PPS dibuka di SK Simpang 5 Darat bagi menempatkan mangsa dari Kampung Simpang 5 Darat, Kampung PT. Bunga Raya Hujung dan Kampung PT. Pulai manakala PPS di Sekolah Agama Simpang 5 Darat menempatkan mangsa-mangsa dari Kampung Simpang 5 Darat, Kampung PT. Bunga Raya dan Kampung PT. Pulai.

Empat lagi PPS melibatkan Balai Raya Kampung Batu Badak dan Dewan Komuniti Tasek bagi menempatkan mangsa dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 bagi daerah Segamat, Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof bagi menempatkan mangsa dari Kampung Ithnin Maarof di Kluang dan SK Melayu Raya bagi menempatkan mangsa dari Kampung Sri Gambut, Pekan Nenas,Pontian,

Difahamkan juga, keadaan air (banjir) juga dilaporkan semakin surut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tiada amaran bagi rebut petir dikeluarkan oleh pihak Jabatan Meteorolgi Malaysia setakat ini dengan cuaca diramalkan cerah pada Rabu kecuali hujan dijangka berlaku Mersing, Kluang dan Tangkak.