PRU15: SPR jangan bersikap eksklusif, tolong jawab soalan rakyat!

SPR
SPR
A
A
A

MERAK Jalanan hairan dengan pendekatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mendepani isu-isu berbangkit sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mungkin kerana faktor cuaca yang ketika ini hujan setiap hari menyebabkan SPR bersikap pasif dan enggan menonjolkan diri menjawab persoalan rakyat.

Hakikatnya, rakyat semakin gusar dan tidak senang hati kerana banjir sedang melanda beberapa negeri menjelang tiga hari lagi nak keluar mengundi.

Apa pelan kontingensi sekiranya berlaku banjir besar pada hari tersebut? Itu yang rakyat nak dengar daripada mulut Pengerusi SPR. Tidak perlu berahsia kerana SPR bukan parti politik yang menyembunyikan strategi gerak kerja.

Selaku badan menguruskan perjalanan pilihan raya, SPR tidak boleh bersikap eksklusif, seolah-olah mengundi itu hanya melibatkan kakitangan SPR. Pemilih adalah rakyat dan mereka yang akan keluar mengundi, maka mereka berhak tahu lebih awal apa perancangan SPR jika berlaku banjir besar pada 19 November ini.

Bukan sahaja berkaitan pelan kecemasan banjir, malah sejak hari pengumuman tarikh-tarikh penting PRU15 lagi, Merak Jalanan lihat ada sesuatu tidak kena. SPR mengadakan sidang media tanpa membenarkan wartawan bertanyakan sebarang soalan. Sidang media Perdana Menteri pun ada soal jawab.

Ketika tempoh berkempen, banyak isu berkaitan PRU15 tular di media sosial, antaranya khianat bahan kempen, undi pos pengundi luar negara, kekeliruan waktu mengundi dan perbelanjaan kempen calon. Rakyat mahu jawapan tetapi SPR kunci mulut. Ruangan komen di Facebook SPR juga ditutup.

Apa yang sepatutnya SPR buat adalah mengadakan sidang media harian sepanjang tempoh berkempen. Mahu rakyat keluar mengundi tetapi bersikap sombong dengan mereka.

Artikel Berkaitan:

Justeru, kepada kerajaan baharu yang menang PRU15, Merak Jalanan harap rombak pengurusan SPR supaya lebih peka dengan suara rakyat.