Final Jelajah Dunia pindah ke Thailand

Aaron-Wooi Yik antara wakil negara yang menggalas cabaran di Final Jelajah Dunia. - Foto BADMINTON PHOTO
Aaron-Wooi Yik antara wakil negara yang menggalas cabaran di Final Jelajah Dunia. - Foto BADMINTON PHOTO
A
A
A

FINAL Jelajah Dunia yang merupakan penutup kalendar kejohanan badminton musim ini terpaksa dipindahkan ke Thailand ekoran situasi terkini Covid-19 di China.

Kejohanan tersebut juga dijadualkan lebih awal seminggu iaitu bermula pada 7 hingga 11 Disember akan berlangsung di Arena Nimibutr, Bangkok.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum itu kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.8 juta) dijadualkan berlangsung di Guangzhou, China dari 14 hingga 18 Disember.

Berdasarkan peraturan sebelum ini, pemain bukan dari China yang layak ke kejohanan tersebut perlu transit di Bangkok.

Ia bagi menjalani kuarantin tiga hari mandatori serta melakukan ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) sebelum berangkat ke China.

Saingan Final Jelajah Dunia ialah acara utama BWF yang menempatkan lapan pemain dan pasangan teratas di ranking Jelajah Dunia pada penghujung musim.

Pemain negara yang akan menyertai acara itu termasuk juara dunia beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Artikel Berkaitan:

Turut layak ialah beregu wanita nombor lapan dunia, Pearly Tan-M Thinaah, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien.

Beregu campuran pula melibatkan pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Pemain nombor dua dunia, Lee Zii Jia pula masih berpeluang melayakkan diri jika dia beraksi cemerlang di Terbuka Australia minggu ini.