Muhyiddin cabar Anwar kemuka bukti dakwaan PN paling kaya

Muhyiddin ketika berucap menghadiri program Sembang Petang Bersama Abah di Taman Sri Stulang, Johor Bahru pada Selasa.
Muhyiddin ketika berucap menghadiri program Sembang Petang Bersama Abah di Taman Sri Stulang, Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti berkenaan dakwaan PN merupakan gabungan politik yang paling kaya ketika ini.

Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, Anwar hanya membuat fitnah semata-mata tanpa mengemukan sebarang bukti.

"Dia kata PN parti paling kaya, tetapi apa buktinya. Kalau hendak buktikan, tunjuk akaun bank antara pemimpin PN dan PH. Anwar Ibrahim boleh tunjukkan tak?

"Kalau dia ada bukti tunjukkan, jika tiada bermakna dia pembohong dan pengundi jangan percaya.

"Sebaliknya kita merupakan sebuah parti baharu, kita tidak mempunyai sumber yang besar, kita bergantung kepada orang yang mahu membantu perjuangan kita, itu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Sembang Petang Bersama Abah di Taman Sri Stulang, di sini pada Selasa.

Turut hadir, calon PN bagi kerusi Parlimen Johor Bahru, Mohd Mohtah Yacob.

Pada Selasa, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa PN menjadi parti politik paling kaya ketika ini ekoran banyak memperolehi projek bernilai berbilion ringgit ketika tempoh pandemik Covid-19.

Dakwa Anwar, semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri ketika itu, banyak projek dikeluarkan tanpa tender kepada pihak tertentu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhyiddin menyelar dakwaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyifatkan hubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sebagai perkahwinan mutaah (sementara).

Sebaliknya, beliau menegaskan gabungan BN yang telah melalui proses 'mufarakah' (berpisah) sejak kekalahan mereka pada 2018.

" Dari segi politik hubungan kami cukup baik, mereka (UMNO) kata begitu mungkin kerana bimbang sokongan kita cukup kuat.

"Tiada begitu, sebaliknya BN yang mutaah kemudian sudah mufarakah (berpisah) pula, dahulu 14 (parti komponen) kini hanya tinggal tiga sahaja (UMNO, MCA, MIC)," katanya.

Terdahulu, Mahdzir yang juga merupakan Menteri Pembangunan Luar Bandar mendakwa gabungan Pas dan Bersatu sebagai perkahwinan mutaah kerana kepimpinan kedua-dua parti itu mengeluarkan kenyataan bercanggah antara satu sama lain.