PRU15: Enam pusat mengundi jadi PPS

Anggota polis yang menunaikan tanggungjawab mengundi awal di pusat pengundian di Taska IPK Kelantan di Kota Bharu pada Selasa.
Anggota polis yang menunaikan tanggungjawab mengundi awal di pusat pengundian di Taska IPK Kelantan di Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Enam daripada lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Rantau Panjang dan Pasir Mas bertindih dengan pusat mengundi di negeri ini setakat Selasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, perbincangan dilakukan untuk mendapatkan cara terbaik supaya proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini tidak terjejas.

“Enam daripada lapan PPS melibatkan sekolah di kawasan itu bertindih dengan pusat pengundian tetapi telah diambil tindakan.

“Mungkin dikekalkan sekolah sama tetapi bangunan untuk menempatkan mangsa banjir dan mengundi diasingkan,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat ke pusat pengundian awal di Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, pada Selasa.

Menurutnya, beliau sudah melawat dan melihat bangunan yang sesuai bagi melakukan perubahan laluan pintu masuk antara mangsa banjir dan pengundi.

“Perancangan mengundi untuk mangsa-mangsa banjir berada di PPS juga sudah siap sedia melibatkan pengangkutan dan penempatan sesuai yang tidak jauh dari tempat mengundi,” katanya.

Berdasarkan aplikasi Info BencanaJKM sehingga jam 6 petang Selasa, sejumlah 3,098 mangsa terjejas banjir melibatkan enam negeri iaitu Johor, Kelantan, Selangor, Perak, Melaka dan Kedah dengan 28 PPS dibuka di seluruh negara.

Kelantan paling ramai mangsa banjir dengan jumlah 2,090 orang diikuti Perak (375), Johor (346), Selangor (184), Melaka (61) dan Kedah (42).

Artikel Berkaitan: