Bantu usahawan durian tempatan

Che Alias Hamid
Che Alias Hamid
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan dan agensi terlibat dalam industri durian disaran mengambil langkah lebih proaktif bagi membantu meningkatkan usahawan tempatan di persada dunia.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, antara langkah yang boleh diambil adalah pemantauan berterusan terhadap usahawan syarikat tempatan yang terlibat dalam eksport durian agar terus berintegriti dalam meningkatkan ekonomi negara.

Menurutnya, meningkatkan jumlah penanaman varieti durian yang mendapat sambutan seperti varieti durian Musang King (D24), varieti durian Hajjah Hasmah (D168) dan varieti Duri Hitam (D200) secara mapan juga harus dilakukan.

“Selain itu, kita minta penyelenggaraan industri eksport durian diperkasakan dari semasa ke semasa dan memperluaskan penerokaan pasaran baharu eksport durian di negara-negara Eropah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Che Alias berkata, usaha itu penting kerana industri durian di negara ini mendapat sambutan yang hebat di China apabila kerajaan telah menyasarkan RM350 juta iaitu 223, 716 tan metrik pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Beliau turut menyambut baik perkembangan industri eksport durian yang mendapat sambutan hebat di pasaran China terutama varieti durian Musang King.

“Walaupun industri durian begitu melonjak diusahakan di negara kita dalam meningkatkan industri hiliran ini, namun saya ingin mengingatkan kerajaan untuk mengetatkan peraturan agar tiada berlaku kemusnahan hutan untuk pertanian dalam penanaman industri durian.

“Kerajaan perlu memastikan industri durian ini ditanam secara lestari dan tidak menjejaskan alam sekitar,” katanya.

Artikel Berkaitan: