'PRU15 mampu hentikan perpecahan orang Melayu'

Mohamed Khalid
Mohamed Khalid
A
A
A

KOTA TINGGI - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan PRU15 mampu menghentikan perpecahan yang sedang berlaku dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Justeru menurutnya, PRU15 dlihat sebagai pilihan raya yang sangat penting dalam usaha memastikan perpecahan dalam kalangan orang Melayu ini dapat dihentikan buat selama-lamanya.

“Ia bukan sahaja mengenai soal nak menangkan calon, tetapi keputusannya boleh membantu kita di Malaysia ini terutamanya orang Melayu menentukan beberapa perkara.

“Pertamanya, tentulah dari segi soal nak wujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil...tetapi selain daripada itu, ia juga merupakan satu pilihan raya yang boleh mematikan dan menghentikan perpecahan yagn berlaku dalam kalangan orang melayu.

“Kalau kita sedari, orang Melayu ni banyak sangat parti politik...apa sahaja perselisihan kalau tak dapat diselesaikan ditubuhkannya parti politik yang baharu... kalau ada anaknya yang tak dapat tempat, ditubuhkannya parti politik baharu dan ini semua menyumbang kepada pepecahan orang Melayu itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum itu, Mohamed Khaled menghadiri Program Kenduri Sekampung di Dewan Serbaguna Sedili Besar di sini bersama penduduk setempat.

Sementara itu, beliau turut berharap agar kesemua pengundi dapat membuat pilihan yang betul ketika memangkah kertas undi nanti.

Katanya, sebarang pilihan yang dibuat oleh pengundi nanti bakal menentukan pihak yang boleh dijadikan sandaran oleh mereka pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap supaya pengundi dapat buat pilihan yang betul dan tepat bagi memilih satu parti politik Melayu yang boleh mereka jadikan sandaran...dan UMNO adalah parti politik Melayu yang paling besar.

“UMNO perlu mendapat sokongan supaya terus kembali unggul dan seterusnya menjadi sandaran utama bagi orang-orang Melayu,” katanya.