PRU15: BN tak beri laluan mudah kepada Anwar di Tambun

Annuar (lima dari kanan) bersama calon dan jentera BN Parlimen Tambun.
Annuar (lima dari kanan) bersama calon dan jentera BN Parlimen Tambun.
A
A
A

IPOH - Ketiadaan nama-nama besar turun membantu jentera Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Tambun tidak bermaksud parti itu memberikan laluan mudah kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, persepsi dan tuduhan bahawa Anwar dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi rakan baik sesuatu yang tidak berasas hanya kerana tiada pimpinan tertinggi parti turun ke Parlimen Tambun.

Menurutnya, BN dilihat kurang menyerlah dari segi bahan kempen dan poster berbanding parti-parti lain disebabkan masalah kekurangan dana.

"Masalah kekurangan dana bukan sahaja di Tambun, UMNO bukan parti yang kaya.

"Saya faham ada sesetengah calon tak cukup dana tetapi bukanlah alasan yang kuat untuk tuduh Zahid beri jalan mudah kepada Anwar.

"Itu tuduhan yang tak adil. Ini PRU, masing-masing calon terpaksa berdepan cabaran yang sukar di kerusi yang diwakili. Orang macam saya boleh bantu sebab bukan calon. Tetapi tak boleh buat kesimpulan bahawa kita bagi Anwar menang. Tak adil untuk Datuk Seri Zahid," katanya kepada pemberita selepas program Perjumpaan Santai Bersama Tan Sri Annuar Musa di Pejabat UMNO Bahagian Tambun di sini pada Selasa.

Sementara itu, mengenai kenyataan calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin bahawa UMNO perlu diberi nafas baharu, Annuar berkata, semua parti sebenarnya perlu diremajakan.

Menurutnya, UMNO sendiri sudah melalui proses itu dan ia terbukti apabila ramai calon muka baharu dicalonkan pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang perlu diremajakan kerana masih mengekalkan Anwar sebagai presiden sehingga kini.

"Masa Anwar jadi presiden (PKR), kita sudah beberapa kali bertukar presiden. Kita sudah tiga empat kali tukar presiden, Anwar masih presiden seorang di situ. Begitu juga parti-parti lain seperti Pas beberapa kali tukar presiden.

"Saya rasa sudah sampai masa Anwar menyerahkan kepimpinan PKR kepada Rafizi (Ramli) untuk memberikan nafas baharu kepada parti itu," katanya.