Isu dakwaan fitnah Tuan Ibrahim dirujuk ke SPRM

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim ketika sidang media sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim ketika sidang media sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan berhubung dakwaan fitnah oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Abu Kassim ketika ditemui mengesahkan telah menerima laporan berhubung isu itu Jumaat lalu.

"Kita sahkan terima laporan itu dan ia dirujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Difahamkan, laporan berkenaan dibuat oleh Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 11 November.

Sebelum ini, Rafizi mendedahkan sebuah projek tebatan banjir yang sudah diluluskan secara rundingan terus menerusi satu surat bertarikh 7 Oktober 2022.

Katanya, surat bertajuk ‘Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2, Selangor’ itu dihantar Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Pada masa sama, beliau menegaskan akan melaporkan skandal berkenaan kepada pihak polis dan SPRM seandainya Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Susulan itu, Tuan Ibrahim menuntut permohonan maaf daripada Rafizi berhubung kenyataan beliau yang mendakwa kelulusan projek tebatan berkenaan telah diberikan kepada 'kroni' pada satu hari bekerja sebelum pembubaran Parlimen.

Artikel Berkaitan: