Gerakan gesa menteri gagal laksana dasar letak jawatan

Dominic (tengah) menunjukkan buku laporan pada sidang akhbar pembentangan laporan prestasi PH antara Januari hingga Mac 2019 di pejabat Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.
Dominic (tengah) menunjukkan buku laporan pada sidang akhbar pembentangan laporan prestasi PH antara Januari hingga Mac 2019 di pejabat Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai di sini, hari ini menggesa barisan menteri di bawah pentadbiran kerajaan PH meletakkan jawatan jika gagal melaksanakan manifesto mahupun dasar yang diumumkan.

Dominic berkata, mereka perlu sedar tanggungjawab untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Lazimnya mereka (pemimpin) gemar mengumumkan manifesto atau dasar pada bila-bila masa tetapi, kemudian hari tidak melaksanakannya seperti dijanjikan. Ini bermakna rakyat sudah tertipu.

“Justeru, sekiranya gagal melunaskan dasar yang diumumkan maka jalan terbaik adalah dengan meletakkan jawatan," katanya pada sidang akhbar pembentangan laporan prestasi PH antara Januari hingga Mac 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi, Oh Tong Keong dan Setiausaha Agung, Mak Kah Keong.

Mengulas laporan prestasi tersebut, Dominic berkata, kerajaan PH memperoleh skor positif sebanyak 31.7 peratus, 22.2 peratus (negatif) dan 46.1 peratus pula lain-lain.

"Proses penilaian ini dikira berdasarkan 63 polisi atau keputusan yang diumumkan kerajaan PH antara Januari sehingga Mac tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Dominic (tengah) pada sidang akhbar pembentangan laporan prestasi PH antara Januari hingga Mac 2019 di pejabat Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.
Dominic (tengah) pada sidang akhbar pembentangan laporan prestasi PH antara Januari hingga Mac 2019 di pejabat Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.

"Pengiraan skor meliputi tiga kriteria utama seperti komitmen kerajaan terhadap manifesto, pelaksanaan dan respon rakyat bagi setiap manifesto yang dijanjikan," katanya.

Tambah beliau, penilaian berkenaan bukan untuk menunjukkan kelemahan pentadbiran tetapi, lebih menjurus kepada usaha 'menyedarkan' kerajaan supaya merealisasikan setiap manifesto dan dasar yang diumumkan.

Menurut Dominic, antara dasar atau keputusan yang memperoleh skor positif ialah 'Kementerian Pendidikan: Sembilan Intervensi Kurangkan Beban Guru dan Skim Perlindungan Nasional B40' (mySalam) manakala isu kereta terbang dan pelantikan politik pula mendapat skor negatif.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai penglibatan Gerakan dalam PRK Parlimen Sandakan pada 11 Mei depan, Dominic berkata, pengumuman akan dilakukan kelak.