PRU15: 8,050 anggota polis undi awal di Sarawak

Anggota dan pegawai polis menunggu giliran untuk proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Ibu Pejabat Polis Miri, pada Selasa. - Foto Bernama
Anggota dan pegawai polis menunggu giliran untuk proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Ibu Pejabat Polis Miri, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Seramai 8,050 pegawai dan anggota polis yang bertugas di Sarawak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pengundi terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai rendah polis termasuk pasangan masing-masing.

“Jumlah pengundi juga termasuk anggota Pasukan Gerakan Am seramai 412 orang dan sebanyak 1,821 undi pos bagi anggota PDRM telah mula diproses selepas hari penamaan calon 5 November lalu.

“Manakala sebanyak 55 pusat mengundi awal dengan 103 saluran untuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diwartakan sebagai pusat mengundi awal,” katanya ketika ditemui di dewan mengundi Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sarawak pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau menambah seramai 3,417 anggota PDRM Sarawak ditugaskan bagi memantau proses pengundian di semua pusat mengundi awal di negeri itu.

Katanya, pusat dan saluran mengundi PDRM termasuk di IPK Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), rumah-rumah persatuan keluarga polis di PERKEP, bangunan pejabat, pusat-pusat sumber, bilik rekreasi, bilik mesyuarat, surau dan sekolah rendah.

Sementara itu kata Mohd Azman, sebanyak 48 laporan diterima sepanjang tempoh berkempen bermula 5 hingga 14 November dan sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka.

“Sebanyak lapan laporan telah diterima semalam dan daripada jumlah itu, dua kertas siasatan dibuka.

Artikel Berkaitan:

“Manakala sebanyak 2,053 permit ceramah telah dikeluarkan kepada calon dan parti yang bertanding di seluruh Sarawak dan sebanyak 279 permit dikeluarkan semalam,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang awam agar keluar beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab pada 19 November ini.