Ketua Pemuda Pas Sik umum berehat semua jawatan parti

Mohd Shahiful sebelum ini tampil memohon maaf secara terbuka menerusi rakaman video.
Mohd Shahiful sebelum ini tampil memohon maaf secara terbuka menerusi rakaman video.
A
A
A

ALOR SETAR - Ketua Pemuda Pas Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir yang dikecam selepas membuat kenyataan pengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka, menyuarakan hasrat untuk ‘berehat’ daripada semua jawatan dalam parti.

Menerusi surat tular di media sosial, Mohd Shahiful membuat permohonan tersebut kepada Setiausaha Pas Kawasan Sik, menerusi surat bertarikh 11 November.

Bagaimanapun, tempoh berehat seketika itu tidak dinyatakan secara terperinci dan akan dimaklumkan kelak.

Berdasarkan surat tersebut, beliau turut menjelaskan bahawa permohonan tersebut dibuat susulan penularan klip video memaparkan ucapan ceramahnya yang dianggap kontroversi baru-baru ini.

“Permohonan dibuat secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.

“Ucapan dalam video tersebut adalah ucapan saya sendiri dan bukan mewakili Pas atau Perikatan Nasional (PN).

“Saya juga memohon maaf kepada semua pihak sama ada dalam Pas mahu pun PN yang tersinggung dengan ucapan tersebut,” katanya menerusi surat terbabit.

Sebelum ini, Mohd Shahiful tampil memohon maaf secara terbuka dan mengakui hal berkaitan syurga dan neraka bukan ditentukan hanya kepada penyokong BN dan PH sebaliknya melibatkan secara umum bagi yang melakukan kebaikan atau kejahatan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut meminta agar semua pihak menghentikan sebaran klip video ceramahnya bagi menjamin keharmonian selain memastikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bebas daripada isu perkauman dan agama melampau.