Lebih 6,000 nelayan tolak pemimpin sokong projek tambak laut

Ibrahim (tengah), Arshad (kiri) dan Zakaria (kanan) menunjukkan peta cadangan pelaksanaan PSI di seluruh Pulau Pinang.
Ibrahim (tengah), Arshad (kiri) dan Zakaria (kanan) menunjukkan peta cadangan pelaksanaan PSI di seluruh Pulau Pinang.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Lebih 6,000 nelayan daripada 32 unit di seluruh Pulau Pinang akan menolak pemimpin yang menyokong Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) kerana ia melibatkan masa depan mereka sebagai nelayan di negeri ini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara), Ibrahim Che Ros berkata, pihaknya turut menggesa agar kerajaan pusat yang bakal dibentuk nanti turut bersama mereka untuk menolak projek tersebut.

Beliau berkata, kesemua nelayan di negeri ini hanya akan mengundi pemimpin yang senada dengan mereka sahaja dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Menurutnya, sekiranya projek tersebut diluluskan, ia akan merosakkan alam sekitar secara kekal yang mana, di kawasan selatan Pulau Pinang, ia mengandungi bentuk muka bumi yang berteluk menyebabkan banyak habitat ikan membiak di kawasan tersebut.

"Seluruh nelayan Pulau Pinang menolak projek ini daripada mula lagi kerana ia secara terang-terangan akan menyebabkan kerosakan kekal kepada laut.

"Kami tidak akan menyokong pemimpin yang menyokong projek ini. Kami tidak akan memberi undi kepada pemimpin yang nak merosakkan masa depan kami," katanya pada sidang akhbar di Pen Mutiara, Batu Maung pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Pen Mutiara, Zakaria Ismail dan Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar.

Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini merancang untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion melibatkan projek LRT, monorel dan tiga buah lebuh raya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.

Artikel Berkaitan:

Bagi merealisasikan PTMP, kerajaan Pulau Pinang melaksanakan PSR yang kini dikenali sebagai Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) melibatkan tambakan kira-kira 1,821 hektar tanah yang mana, ia sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan PTMP bernilai RM46 bilion.

Tambah Ibrahim, kawasan yang bakal ditambak merupakan lubuk banyak spesis ikan dan hidupan laut antaranya kembung, senangin, udang, ketam dan banyak lagi.

"Sepanjang tahun lalu, kita mencatatkan 300 tan tangkapan laut dengan nilai keseluruhan RM5 juta. Bayangkan jika kawasan ini dimusnahkan dengan tambakan laut untuk membangunkan projek moden.

"Persatuan Nelayan Pulau Pinang menentang projek ini sejak ia diperkenalkan pada 2015. Kami juga mendapat tahu bahawa kerajaan negeri akan menambah lagi projek tambakan laut bagi menambahkan tanah rizab di Pulau Pinang. Perkara ini amat merisaukan seluruh komuniti nelayan di negeri ini," jelasnya.

Tahun lalu, Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) untuk PSR.

Keputusan itu dibuat tiga anggota Lembaga Rayuan JAS yang diketuai Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub dan pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Profesor Madya Dr Ramdzani Abdullah (Universiti Putra Malaysia).

Keputusan Lembaga Rayuan JAS itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak lagi sah.

Susulan daripada itu, Kerajaan Pulau Pinang mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Rayuan JAS yang mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS terhadap Laporan EIA untuk Projek PSR.

Kerajaan negeri juga akan memulakan proses mengemukakan semula laporan EIA kepada JAS agar projek yang kritikal bagi pemulihan ekonomi negeri ini pada zaman pasca-Covid-19 dapat diteruskan bagi kemaslahatan rakyat.