Pesara guru hasilkan lebih 100 lukisan berkonsep bunga

Rosilah menghasilkan lukisan yang berkonsepkan bunga.
Rosilah menghasilkan lukisan yang berkonsepkan bunga.
A
A
A

KOTA BHARU - Minat melukis sejak kecil mendorong seorang bekas guru Kimia, Datin Rosilah Said, 61, memanfaatkan persaraannya dengan mendalami bidang tersebut sekali gus menjadi sumber rezeki baharu.

Lebih membanggakan, kebolehan itu dikongsi bersama golongan memerlukan termasuk anak yatim dan pusat tahfiz dengan menyumbang hasil lukisannya sejak tiga tahun lalu.

Beliau berkata, walaupun sudah sekian lama tidak 'memegang' berus lukisan kerana kesibukan di sekolah, beliau tidak putus asa untuk belajar malah mencari guru bagi membantu mengembangkan minatnya.

Bekas guru Sekolah Menengah Datuk Ahmad Maher itu berkata, selepas bersara beliau mengambil peluang melancong untuk melihat keindahan alam.

"Idea tercetus untuk mengembangkan bakat saya selepas melawat sebuah Muzium Lourve di Peranchis beberapa tahun lalu.

"Saya sangat kagum dengan hasil seninya yang halus dan teliti selain dapat mendekatkan diri dengan alam," katanya.

Karya ibu kepada lima anak berusia 26 hingga 37 tahun itu berkonsepkan bunga-bungaan dan setakat ini beliau menghasilkan lebih 100 lukisan.

"Saya suka kepada bunga-bungaan dan menterjemahkannya dalam lukisan. Sejak tiga tahun lalu, saya sudah menjual 10 lukisan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Rosilah, pada awal belajar melukis beliau mengambil masa sehingga empat hari untuk menyiapkan satu karya bersaiz kecil A4 tetapi kini kira-kira sejam sahaja.

Rosilah menunjukkan penanda buku bermotif bunga yang ditempah seorang pelanggan.
Rosilah menunjukkan penanda buku bermotif bunga yang ditempah seorang pelanggan.

Bagaimanapun, Rosilah mengakui masih belajar bagi menghasilkan lukisan yang lebih berkualiti daripada guru berpengalaman iaitu Nawi Awang Lah, 65, di Kampung Kraftangan, Kota Bharu.

Lebih mengujakan, beliau pernah menerima tempahan lebih 100 penanda buku daripada seorang warga Australia yang meminati lukisan bermotif bunga.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan pesara melakukan aktiviti yang bermanfaat bagi mengisi masa lapang.

"Masih belum terlewat untuk mempelajari sesuatu yang kita minat. Saya sendiri masih belajar dan belum layak untuk berkongsi ilmu dalam bidang ini," katanya.

Rosilah juga gembira kerana suaminya, Datuk Wan Abdul Ghafar Wan Ahmad, 62, memberi galakan terhadap minatnya itu.

Justeru Rosilah memberitahu, selepas ini beliau akan mempelajari lukisan landskap bagi meningkatkan kebolehannya dalam bidang itu.

Sebagai guru, beliau menasihatkan golongan muda supaya tidak bertumpu kepada satu bidang sahaja

"Untuk orang muda yang mahu belajar sesuatu yang baharu mereka boleh bermula dari awal dengan mempelajari teknik yang betul dalam sesuatu bidang," katanya.