Operasi LRT Kelana jaya bermula hari ini berjalan lancar

Ka Siong (enam dari kiri), Onn Hafiz (depan) dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad (tengah) melawat Johor Bahru Ancient Temple di Johor Bahru pada Isnin.
Ka Siong (enam dari kiri), Onn Hafiz (depan) dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad (tengah) melawat Johor Bahru Ancient Temple di Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan teknikal Rapid Rail dan pihak pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group memantau pengoperasian perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang bermula semula pada Isnin.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, setakat ini perkhidmatan sistem LRT berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

"Pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) juga akan sentiasa memberi laporan mengenai perkhidmatan LRT itu dari masa ke masa.

"Pagi ini saya dapat laporan dari Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah tentang perkembangan terbaru, laporan yang dikemukan ialah semua tren dan sistem memang sempurna dan tiada sebarang masalah setakat ini.

"Bagaimanapun, saya telah berpesan kepada Prasarana, pasukan teknikal Rapid Rail serta OEM, kita kena pastikan dalam tempoh ini operasi perkhidmatan LRT mantap," katanya kepada pemberita ketika melawat Johor Bahru Ancient Temple, di sini pada Isnin.

Turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pada Selasa lalu, Rapid Rail memaklumkan, perkhidmatan laluan berkenaan mengalami gangguan dan terpaksa dihentikan berpunca daripada sistem kawalan tren automatik (ATC) yang menyebabkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan tren.

Keesokan harinya, sebahagian perkhidmatan sistem LRT laluan Kelana Jaya digantung operasi selama tujuh hari, membabitkan 16 stesen dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ka Siong lagi, sekiranya berlaku apa-apa termasuk tidak yakin dengan sistem yang ada, maka perlu buat intervensi secepatnya untuk melindungi pengguna serta proses penambahbaikan akan dilakukan segera.

Katanya, perkhidmatan LRT itu yang beroperasi sepenuhnya bermula 6 pagi Isnin iaitu dua hari lebih awal daripada jangkaan diharapkan dapat terus berjalan seperti biasa.

"Pengoperasian semula LRT ini dinanti-nantikan, setelah pengujian empat hari berturut-turut dan bermesyuarat bagi memastikan aspek keselamatan dilihat dan jadi keutamaan.

"Saya juga meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) hantar pasukan mereka untuk buat pengesahan tentang keselamatan kerana ia suatu perkara yang perlu dititikberatkan," ujar beliau.

Semantara itu, beliau memberitahu, syarikat penerbangan di negara ini diminta untuk meningkatkan frekuensi penerbangan masing-masing terutama pada waktu tengah malam ketika musim perayaan.

"Saya telah meminta sebelum ini Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), supaya kita dapat menambah kekerapan penerbangan kepada penumpang sekali gus kurangkan bebanan rakyat khususnya masa perayaan.

"Kalau boleh, guna penerbangan tengah malam kerana tidak sibuk tanpa menjejaskan mutu dan kerja penyelenggaraan, maka mereka boleh diizinkan terbang, jadi sekurang-kurangnya pada Tahun Baharu Cina dan seterusnya Hari Raya Aidilfitri berjalan lancar," katanya.